NANA lihat Bazar Ramadan yang beroperasi setahun sekali sempena umat Islam berpuasa itu, memang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong, apatah lagi pelbagai makanan tradisonal di negara ini memang unik sekali dan pastinya menyelerakan.
Nana berkesempatan turut serta semasa lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninjau Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Justeru itu, Mukhriz optimis beberapa Bazar Ramadan di Negeri Kedah akan dipromosikan dengan lebih giat pada masa-masa akan datang agar ianya menjadi satu tarikan pelancong.
Mukhriz berkata, Bazar Ramadan mempunyai potensi untuk dijadikan satu daya tarikan pelancong kerana ianya mempunyai pelbagai cita rasa makanan yang digemari oleh pelancong asing.
Katanya, kerajaan negeri akan melihatnya daripada pelbagai aspek untuk memberi suntikan semula terhadap bazar-bazar Ramadan di Negeri Kedah, agar ianya dapat menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tumpuan setiap tahun.
"Saya ingat mungkin ni ke depan nanti kita akan cuba buat promosi kerana budaya bazar Ramadan ini, mungkin tak diketahui oleh pelancong, tetapi saya yakin kalau mereka tahu meraka datang dan mereka akan dapat lihat begitu banyak sekali juadah-juadah yang ditawarkan dan ini sebagai satu tarikan untuk pelancongan," ujar Mukhriz
Katanya, Bazar Ramadan mempunyai keunikan pada ketika umat Islam berpuasa sahaja, ianya akan berjalan selama sebulan sahaja pada setiap tahun dan tidak sesuai untuk dioperasikan pada setiap bulan sepanjang masa.
Mukhriz berkata, hasil tinjauannya terhadap peniaga-peniaga Bazar Ramadan kebanyakkan mereka memperolehi pendapatan yang agak memberangsangkan pada setiap tahun, apatah lagi ianya menjadi tumpuan pelancong.
Sempena kunjungan ke Bazar Ramadan di situ, Mukhriz juga sempat memberikan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.
No comments:
Post a Comment