Monday 13 June 2011

Motosikal Besar Tarik Pelancong

AKTIVITI motosikal berkuasa besar akan dijadikan produk baru pelancongan Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong terutama di kalangan penunggang motosikal ke pulau bebas cukai itu.

Pengarah Tourism Malaysia Kedah Roslan Othman berkata dengan pemilik motosikal terdiri daripada mereka yang berkemampuan dari segi sumber kewangan, sudah pasti mereka berbelanja besar di Langkawi dan ini menguntungkan pulau peranginan itu.

"Komitmen semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan swasta diperlukan bagi memajukan industri ini bagi menyokong usaha seperti menyediakan kemudahan dan pengangkutan membawa motosikal dari tanah besar ke Langkawi," katanya.

Katanya kejayaan dan sambutan menggalakkan yang diterima ketika menganjurkan 'International Charity Ride 2011' bagi menyambut ulang tahun keempat Langkawi Geopark 2011 di sini selama dua hari yang berakhir hari ini memberi keyakinan produk baru itu akan menghasilkan kejayaan.

Sebanyak 200 motosikal dengan 250 peserta dari Singapura, Thailand dan Malaysia menyertai acara itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur Pishol Ishak berkata sempena program itu para peserta itu beramah mesra bersama dengan lebih 30 anak yatim Langkawi dan penduduk di Kampung Tok Rendong Kuah di sini.

Pishol yang juga Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah berkata aktiviti itu dirancang untuk dijadikan acara tahunan sebagai produk pelancongan Langkawi.

Aktiviti itu anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tourism Malaysia, Matta dan beberapa agensi kerajaan.

Saturday 11 June 2011

Operasi Bersih Taman Laut

TAMAN Laut Pulau Payar yang terletak di luar pantai barat negeri Kedah kini antara destinasi pelancongan yang semakin dikenali ramai. 

Tarikan terumbu karangnya, menyebabkan taman laut ini begitu popular di kalangan pelancong asing, terutama pengunjung dari Jepun dan Taiwan.

Saban tahun bilangan pengunjung ke Pulau Payar meningkat. Bayangkan daripada 1,400 orang pada tahun 1988, kini ianya mencecah kepada hampir 200,000 orang pada tahun lepas.

Selain terumbu karang yang menjadi tumpuan penyelam, pelbagai jenis ikan yang berlegar di tepian pantai Pulau Payar sentiasa mengamit pelancong untuk berkunjung kembali.

Bilangan pelancong yang besar dan aktivitinya boleh menjejaskan persekitaran terumbu karang di samping pencemaran kawasan taman laut jika tidak diuruskan dengan baik.

Sebagai kawasan ‘lubuk ikan’ perairan Pulau Payar sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan. Pencerobohan inilah meninggalkan kesan pencemaran yang begitu membimbangkan.

Nelayan yang menangkap ikan di kawasan itu turut meninggalkan sisa pepejal dan peralatan menangkap ikan yang terdampar di dasar taman laut itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini Jabatan Taman Laut dan Polis DiRaja Malaysia mengadakan operasi pembersihan dasar laut, Taman Laut Pulau Payar bagi menangani pencemaran terumbu karang dan persekitarannya.

Nana bersama wakil media yang lain, tidak ketinggalan turut serta dalam operasi yang melibatkan seramai 200 anggota polis dan penyelam sukarelawan bagi mengutip sisa pepejal seperti pukat, tin, plastik, botol di dasar laut.

Taman Laut Pulau Payar terdiri dari gugusan empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang dengan keluasan 31.2 hektar.

Jika ingin ke Pulau Payar, anda boleh menempah perjalanan itu melalui Pulau Pinang dan Langkawi kerana hanya di situ sahaja terdapat agen pelancongan yang membawa pengunjung ke taman laut itu.

Walaupun kos perjalanan untuk masuk ke Pulau Payar agak tinggi, tetapi Nana rasa ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan oleh persekitaran semulajadi yang tenteram dan mengasyikkan itu.

Monday 23 May 2011

Nana Unique View


Nana Unique memaparkan pengalaman unik mana-mana individu atau kumpulan kembara di samping catatan Nana Hussin dalam tugasan memburu info-info menarik tentang seni, budaya dan warisan serta lokasi menarik pelancongan di dalam negara ataupun luar negara.

Nana ingin mengajak anda semua melayari nanaunique.blogspot.com

Hubungi Nana Hussin
nanauniq@gmail.com
nanaunique@blogspot.com
Tel: 012-5835477