Saturday 11 June 2011

Operasi Bersih Taman Laut

TAMAN Laut Pulau Payar yang terletak di luar pantai barat negeri Kedah kini antara destinasi pelancongan yang semakin dikenali ramai. 

Tarikan terumbu karangnya, menyebabkan taman laut ini begitu popular di kalangan pelancong asing, terutama pengunjung dari Jepun dan Taiwan.

Saban tahun bilangan pengunjung ke Pulau Payar meningkat. Bayangkan daripada 1,400 orang pada tahun 1988, kini ianya mencecah kepada hampir 200,000 orang pada tahun lepas.

Selain terumbu karang yang menjadi tumpuan penyelam, pelbagai jenis ikan yang berlegar di tepian pantai Pulau Payar sentiasa mengamit pelancong untuk berkunjung kembali.

Bilangan pelancong yang besar dan aktivitinya boleh menjejaskan persekitaran terumbu karang di samping pencemaran kawasan taman laut jika tidak diuruskan dengan baik.

Sebagai kawasan ‘lubuk ikan’ perairan Pulau Payar sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan. Pencerobohan inilah meninggalkan kesan pencemaran yang begitu membimbangkan.

Nelayan yang menangkap ikan di kawasan itu turut meninggalkan sisa pepejal dan peralatan menangkap ikan yang terdampar di dasar taman laut itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini Jabatan Taman Laut dan Polis DiRaja Malaysia mengadakan operasi pembersihan dasar laut, Taman Laut Pulau Payar bagi menangani pencemaran terumbu karang dan persekitarannya.

Nana bersama wakil media yang lain, tidak ketinggalan turut serta dalam operasi yang melibatkan seramai 200 anggota polis dan penyelam sukarelawan bagi mengutip sisa pepejal seperti pukat, tin, plastik, botol di dasar laut.

Taman Laut Pulau Payar terdiri dari gugusan empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang dengan keluasan 31.2 hektar.

Jika ingin ke Pulau Payar, anda boleh menempah perjalanan itu melalui Pulau Pinang dan Langkawi kerana hanya di situ sahaja terdapat agen pelancongan yang membawa pengunjung ke taman laut itu.

Walaupun kos perjalanan untuk masuk ke Pulau Payar agak tinggi, tetapi Nana rasa ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan oleh persekitaran semulajadi yang tenteram dan mengasyikkan itu.

No comments:

Post a Comment