Monday 5 August 2013

Operasi Raya JPJ

MENJELANG Syawal tidak beberapa hari lagi, lebuhraya dan jalan raya mulai sibuk dengan orang ramai yang mula balik kampung dan keluar untuk membeli-belah.

Pesan Nana, berhati-hatilah semasa dalam perjalanan dan elakkan diri masing-masing menjadi 'samseng jalanan'.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mempergiatkan operasi bersepadu bersama-sama agensi lain agar perjalanan dan lalu lintas di seluruh negara menjadi lancar dan selamat tanpa dicemarkan oleh sesiapa sahaja yang cuba melanggari ataupun tidak mematuhi peraturan di jalan raya.

Nana sempat ikut serta dalam operasi bersepadu menjelang Aidil Fitri yang dilancarkan oleh JPJ di Alor Setar, Kedah.


Operasi kali ini di sekitar Lebuhraya Darulaman, Jalan Sultanah dan jalan hadapan Hospital Lama Alor Setar, Nana lihat tumpuan operasi lebih fokus terhadap penunggang-penunggang motosikal.

Apa yang menarik dalam operasi itu, hasrat lima lelaki untuk keluar membeli belah di sekitar bandaraya Alor Setar, tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam operasi itu.

Nasib lebih malang buat mereka, kelima-limanya didapati positif dadah ‘methamphetamine’ apabila ujian saringan air kencing dibuat ke atas mereka dalam operasi itu, yang turut disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun itu, ditahan berhadapan Hospital Lama Alor Setar sekitar pukul 10.30 malam.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Kedah, Md Ziki A.Rahman, daripada lebih 1,000 motosikal dan kenderaan yang ditahan, AADK memilih secara rambang seramai 33 penunggang dan pembonceng motosikal untuk menjalani ujian saringan air kencing dan daripada itu hanya lima daripada mereka positif dadah.

Ketika ditahan, kesemuanya tinggal di kampung-kampung berdekatan Alor Setar, memberi alasan keluar untuk ke bandar bagi mencari barangan dan keperluan untuk persiapan hari raya.

Kelima mereka itu dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Md Ziki berkata, hasil pemeriksaan didapati sebanyak 146 kes bagi penunggang motosikal yang tidak berlesen dan pemandu kenderaan yang tidak mempunyai cukai jalan dapat di kesan.

No comments:

Post a Comment