Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Thursday, 31 October 2013

Air Nira Pilihan Raya

Nana berkesempatan ke Sungai Limau, Yan, Kedah bagi meninjau dan merasai sendiri bahang kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Apa pun Nana tertarik dengan penghasilan nira nipah di Sungai Limau dan peniaga air minuman itu kini mendapat rezeki yang berganda ekoran permintaan terhadap nira nipah meningkat sejak kempen pilihan raya bermula.

Air Nira Nipah antara minuman tradisi yang agak popular di negeri Kedah, antara kelebihan amalan meminum air nira nipah ialah menyejukkan badan.

Ianya manis lagi berkhasiat dan keenakan nira nipah bertambah apabila dicampur dengan air batu.

Nira nipah ini banyak dihasilkan secara tradisonal oleh penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan Sungai Limau, Yan, Kedah.

Bagi pengusaha nira nipah dan peniaga air minuman itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memberi satu keuntungan kepada mereka kerana permintaan terhadap minuman itu meningkat sekali ganda, berbanding sebelum ini.

Yusof Abdullah merupakan salah seorang pengusaha nira nipah, yang tinggal di Kuala Sedaka yang terletak dalam kawasan DUN Sungai Limau.

Menurutnya, menjelang PRK DUN Sungai Limau, tempahan air nira yang disadap (diambil) daripada pokok-pokok nira dari belakang rumahnya meningkat sehingga kadang-kala ianya tidak dapat memenuhi permintaan.

Yusof berkata, beliau hanya menyadap air nira nipah itu secara sambilan, namun pendapatannya agak lumayan, apatah lagi dalam PRK ini kebanyakkan orang tertumpu ke Sungai Limau.

Katanya, walaupun proses penghasilan air nira nipah itu agak renyah dan mengambil masa yang lama, namun ianya pastinya berbaloi  apabila air nira yang dituai itu ditempah pelanggan.

Sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini, selain memastikan bekalan air nira kepada pelanggan tetapnya mencukupi, beliau juga menerima tetamu yang ingin menikmati keenakan air nira yang baharu sahaja dituai dari pokok.

Peniaga air nira dari pekan Yan Kechil, Salmiah Omar, pula berkata, hasil jualannya meningkat sejak beberapa hari lepas hasil tempias PRK DUN Sungai Limau.

Pada hari biasa, beliau sekadar menjual antara 60 hingga 80 bungkus air nira nipah sehari, namun sejak tiga hari lepas hasil jualannya meningkat sehingga 200 bungkus sehari.

Salmiah menjual air nira nipah itu dengan harga RM2 sebungkus.

Selain dapat menyegarkan badan, bagi peminat air nira nipah, di antara mereka mendakwa, air nira nipah yang asli boleh membantu memecahkan batu karang dan mencuci buah pinggang.

Thursday, 22 August 2013

Mukhriz dan Idris 100 Hari

MENTERI Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris Haron bercakap kepada media sempena 100 hari menjawat jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri, baru baru ini. Kedua duanya turut bercakap mengenai keluarga.

Mukhriz berkata, tidak akan mempertimbangkan dan meluluskan projek di negeri Kedah kepada keluarganya. Ini melonjakkan imej beliau yang menolak kronimisme pada kacamata rakyat Kedah.

Idris pula berkata, anak-anaknya mulai terasa 'kehilangan'nya pada waktu makan tengahari dan malam, sejak dilantik sebagai Ketua Menteri. Ini membuatkan anaknya mula memahami kesibukan beliau bagi mensejahterakan rakyat Melaka.

Mukhriz telah mengumumkan dua pelaburan besar di Kedah termasuklah Ranbaxy dari India di Kulim.

Idris belum berkesempatan untuk mengumumkan pelaburan baharu atau tambahan di Melaka.

Mukhriz berjaya menarik kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkunjung ke Kedah untuk merasmikan majlis peringkat nasional. Najib ke Kedah meraikan Hari Peneroka FELDA peringkat Kebangsaan. Sebelah petangnya merasmikan kompleks baharu Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Alor Setar, antara yang terbesar di negara ini. Malamnya, melancarkan Majlis Kibar Jalur Gemilang peringkat nasional. 

Idris juga tidak ketinggalan menarik penganjuran majlis nasional. Melaka telah ditetapkan menjadi penganjur Rumah Terbuka Aidil Fitri peringkat Kebangsaan. Majlis ini akan menjadikan Melaka menjadi tumpuan Perdana Menteri dan barisan menteri kabinet.

Bagi bolasepak pula, Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) akan berkerjasama dengan Cardiff City menubuhkan Akademi Bolasepak, Tan Sri Vincent Tan dan Mukhriz telah menandatangani perjanjian memajukan pembangunan sukan bolasepak Kedah.

Persatuan Bola sepak Melaka (MAFA) mungkin sedang merancang sesuatu merancakkan perkembangan bolasepak Melaka. Diberitakan, Idris akan mengadakan mesyuarat dengan MAFA pada akhir bulan ini bagi perancangan masa depan pembangunan bola sepak Melaka. -- petikan blog Pemuda Selempang Merah

Sunday, 18 August 2013

Bayar Artis Raya RM100,000

NANA tertarik dengan entry terbaru daripada bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Helmi Khalid dalam laman sosial Facebooknya, mengkritik majlis sambutan Aidilfitri Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, berlangsung di kediaman rasmi di Sri Mentalon, Alor Setar, Kedah.


Beliau mempertikaikan terhadap kewajaran majlis sambutan itu dengan perbelanjaan yang besar, terutama untuk bayaran artis-artis yang diundang menyerikan majlis itu.

Nana turut hadir ke majlis itu dan antara artis ternama yang membuat persembahan pada hari itu ialah Jamal Abdillah, DJ Dave dan Mazlan Pet Pet.

Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah turut berangkat menghadiri majlis itu bersama rakyat jelata.

Berikut adalah paparan status dalam entry yang ditulis oleh Helmi:

"Di ketika umat Islam Mesir bertarung nyawa mempertahan hak Islam...MB Mukhriz slps lulus hampir RM 100,000.00 utk byr artis utk majlis raya di Sri Mentaloon...lulus pula utk JAMUAN SHJ hampir RM 500,000.00, BN Menang Rakyat Senang....harga khemah, bunga canga...menyusul kemudian..."


Beberapa komen dari rakan Facebooknya menyusul dengan nada sinis, antaranya Abd Malik Ahmad menulis: "artis didahulukan rakyat diperbodoh2kan dgn sesuap jamuan........".

Apa pun Nana rasa, itu sudah menjadi lumrah kata mengata daripada pihak yang kehilangan 'tahta' kepada pihak yang merampas 'tahta' mereka.

Mungkin juga kata-kata itu ada kebenarannya ataupun sekadar meluahkan rasa kecewa yang amat sangat kerana kali ini mereka tidak dapat beraya di Sri Mentalon, setelah lima tahun berturut-turut meraikannya dengan badget yang sangat rendah?.

Berapa agaknya mereka memperuntukkan untuk meraikan majlis Aidilfiri di Sri Mentalon pada setiap tahun?.

Friday, 16 August 2013

Cardiff City Latih Kedah

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan bekerjasama dengan pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City FC dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negeri dan pengurusannya.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak berlangsung di Hotel TH, Alor Setar, Kedah.

KFA diwakili Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat KFA Aminuddin Omar manakala Cardiff City FC diwakili Pengarahnya Datuk Lye Ek Seang.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang juga Presiden KFA serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik Cardiff City FC.

Mukhriz dalam ucapannya berkata kerjasama hasil MoU itu akan dibincangkan dengan segera dan KFA akan mendapat banyak bantuan daripada kelab Liga Perdana Inggeris itu terutama dalam aspek kejurulatihan dan pendekatan terkini dalam bola sepak.

Katanya kedua-dua pihak juga akan berbincang soal pertukaran pemain selain latihan bersama sama ada di Kedah atau di Cardiff City.

Tambah Mukhriz pihaknya akan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan akademi itu yang mungkin dibina di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Sungai Petani, Kedah.

"yang pentingnya dari segi prasarana latihan akan ditambah baik berbanding dengan apa yang sedia ada pada waktu ini dengan suntikan tenaga mahir jurulatih yang dapat dikenal pasti oleh pihak Tan Sri Vincent Tan sebagai pemilik pasukan Cardiff City," ujar Mukhriz.

Sementara itu, Tan berkata beliau
berharap rundingan kerjasama untuk pembinaan akademi bola sepak itu diadakan secepat mungkin dan jika tapaknya sesuai ia boleh dibina dalam masa terdekat.

Tuesday, 6 August 2013

Edar Bubur Lambuk Di Tol


MENJELANG Aidilfitri yang jangka diraikan Khamis ini, mereka yang tinggal di perantauan mula pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, orang ramai dan umat Islam amnya menjadi sibuk dengan pelbagai persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri.

Lebuhraya dan jalan-jalan utama mulai sesak, Nana juga turut sibuk, tapi sibuk dengan pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung di Plaza Tol Alor Setar Utara, di Alor Setar, Kedah.


Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) mengambil inisiatif mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna-pengguna lebuhraya utara-selatan sebagai bekalan untuk mereka berbuka puasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Sebanyak 1,000 kotak bubur lambuk diedarkan kepada pengguna lebuhraya di plaza tol itu oleh Exco Agama, Sumber Tenaga dan Pelancongan Negeri Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid bersama kakitangan YINK termasuk Pengurus Besarnya, Datuk Mohamad Che Nai.

Mohd Rawi berkata, sumbangan itu, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kepada keluarga yang sibuk untuk persiapan hari raya ataupun mereka dalam perjalanan jauh kerana tiada ruang untuk memasaknya sendiri.

Selain itu, katanya, sumbangan bubur lambuk itu merupakan tradisi bagi YINK dalam menyemarakkan program Ilha Ramadan di seluruh negeri Kedah.
Seliau berkata, selain di plaza tol, sebelum ini YINK turut mengedarkan bubur lambuk di tempat-tempat awam seperti bazar Ramadan dan kompleks Pekan Rabu Alor Setar yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Tradisi ini kami dalam yayasan islam memang menjadi agensi utama dalam menggerakkan ilha ramadan bersama dengan yang amat berhormat datuk paduka menteri besar iaitu di seluruh daerah di kedah dan juga dengan ngo-ngo dan program sumbangan bubur lambuk yang akan kita adakan ini adalah tambahan daripada program ilha ramadan yang telah diadakan dan insyaallah kita akan mengadakan lagi lebih banyak program yang berkaitan dengan keagamaan pada masa yang akan datang insyaallah," kata Mohd Rawi.

Bubur lambuk itu siap dan habis diedarkan dalam tempoh tidak sampai satu jam.


Bubur lambuk merupakan hidangan yang popular di seluruh negara terutamanya di musim bulan Ramadan dan YINK telah bertahun-tahun mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Friday, 2 August 2013

Tok Jual Rebung di TV9



TERSENTUH hati Nana ketika melihat seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk. 

Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.

Mata Nana terus terpaku ke arah nenek itu, kelihatan beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.

Rakan Nana, Wartawan TV9 Kedah kebetulan ada bersama, menghampiri wanita itu bagi menyingkap dan merakamkan kisahnya.

Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.

Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.

Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.

Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.

Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.

Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekahnya.

Tengahari tadi (1 Ogos 2013), TV9 menyiarkan berita mengenai wanita tua yang menjual rebung itu, lima minit selepas siaran berita itu, ada rakan Facebook terus memaparkan status "Tok Jual Rebung di TV9' di halaman mereka.

Status itu mendapat like lebih 200 dan lebih 50 komen dari rakan-rakan Facebook.

Paling Nana terasa pilu, ketika mendengar suara wanita tua itu yang terketar-ketar dan tersangkut-sangkut ketika menjawab soalan daripada Wartawan TV9 yang sedang menemubualnya.

Berikut adalah perbualan mereka:

Wartawan TV9 : Rebung tu tok bawa sehari berapa? banyak mana?
Tok Puteh : Sehari tekuh (kadang) seraga ni.

Wartawan TV9 : Dapat berapa ringgit tok sehari.
Tok Puteh : Sehari tak tau, bubuh dalam ni bawa balik (sambil menunjukkan karung plastik yang berisi wang).

Wartawan TV9 : kira tiga ringgit lah satu.. rebung tu tok ambil daripada mana
Tok Puteh : Anak menakan (saudara) angkat cari.. depa motong (penoreh getah)

Wartawan TV9 : Tok sihat lagi? boleh jalan lagi?
Tok Puteh : sihat

Wartawan TV9 : Boleh jalan lagi no..Ni habis pukul berapa tok?
Tok Puteh : Kalau habis awal, awal balik



Thursday, 1 August 2013

Bazar Ramadan Pelancongan

NANA lihat Bazar Ramadan yang beroperasi setahun sekali sempena umat Islam berpuasa itu, memang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong, apatah lagi pelbagai makanan tradisonal di negara ini memang unik sekali dan pastinya menyelerakan.

Nana berkesempatan turut serta semasa lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninjau Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Justeru itu, Mukhriz optimis beberapa Bazar Ramadan di Negeri Kedah akan dipromosikan dengan lebih giat pada masa-masa akan datang agar ianya menjadi satu tarikan pelancong.

Mukhriz berkata, Bazar Ramadan mempunyai potensi untuk dijadikan satu daya tarikan pelancong kerana ianya mempunyai pelbagai cita rasa makanan yang digemari oleh pelancong asing.

Katanya, kerajaan negeri akan melihatnya daripada pelbagai aspek untuk memberi suntikan semula terhadap bazar-bazar Ramadan di Negeri Kedah, agar ianya dapat menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tumpuan setiap tahun.

"Saya ingat mungkin ni ke depan nanti kita akan cuba buat promosi kerana budaya bazar Ramadan ini, mungkin tak diketahui oleh pelancong, tetapi saya yakin kalau mereka tahu meraka datang dan mereka akan dapat lihat begitu banyak sekali juadah-juadah yang ditawarkan dan ini sebagai satu tarikan untuk pelancongan," ujar Mukhriz


Katanya, Bazar Ramadan mempunyai keunikan pada ketika umat Islam berpuasa sahaja, ianya akan berjalan selama sebulan sahaja pada setiap tahun dan tidak sesuai untuk dioperasikan pada setiap bulan sepanjang masa.

Mukhriz berkata, hasil tinjauannya terhadap peniaga-peniaga Bazar Ramadan kebanyakkan mereka memperolehi pendapatan yang agak memberangsangkan pada setiap tahun, apatah lagi ianya menjadi tumpuan pelancong.

Sempena kunjungan ke Bazar Ramadan di situ, Mukhriz juga sempat memberikan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Sunday, 28 July 2013

Hindustan Promote Malaysia

BUAT pertama kali, album rentak Hindustan dengan konsep muzik Malaysia Bollywood bertajuk "Tum Mile" (I Met You), telah dilancarkan di Mumbai, India baru-baru ini - menurut laporan sebuah akhbar, The Times of India.

Album yang dihasilkan khas bagi promosi pelancongan di Malaysia, mempunyai empat lagu-lagu duet popular termasuk satu medley, dinyanyikan oleh Toh Puan Bendahara Kedah, Toh Puan Noor Suzanna Abdullah, ahli keluarga diraja Kedah dan penyanyi Bollywood Kumar Sanu.

Album ini mempunyai lagu-lagu hits sepanjang zaman dalam era kegemilangan filem-filem Bollywood di Malaysia, kata laporan itu.

Kedua-duanya membawa pendengar menyelami semula era muzik Bollywood pada 70-an dan 80-an, tetapi dengan menerapkan sentuhan Malaysia dalam album itu dengan muzik Bollywood yang sentiasa berkembang mempengaruhi peminatnya.

Memanfaatkan destinasi popular di Malaysia, dengan gabungan unik audio-visual dan konsep persembahan album itu ianya bakal menjadi tarikan kepada rakyat daripada kedua-dua negara India dan Malaysia.

Menurut laporan itu, Pengerusi Tourism Malaysia Dr Ng Yen Yen berkata:
"lagu-lagu Bollywood, superstar dan filem-filemnya diminati ramai oleh isi-isi rumah di Malaysia dan mutu arahannya yang sangat berkualiti dan malah difahami oleh kalangan penduduk yang tidak boleh bertutur bahasa Hindi.

"Dan kini, dengan kompilasi indah muzik oleh dua individu yang terkenal, salah satu dari Malaysia, dan lain-lain dari India, adalah menjadi harapan kami bahawa album 'Tum Mile' akan terus merapatkan hubungan kedua-dua negara - melalui muzik, melalui pelancongan.