Showing posts with label ramadan. Show all posts
Showing posts with label ramadan. Show all posts

Friday, 2 August 2013

Tok Jual Rebung di TV9



TERSENTUH hati Nana ketika melihat seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk. 

Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.

Mata Nana terus terpaku ke arah nenek itu, kelihatan beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.

Rakan Nana, Wartawan TV9 Kedah kebetulan ada bersama, menghampiri wanita itu bagi menyingkap dan merakamkan kisahnya.

Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.

Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.

Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.

Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.

Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.

Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekahnya.

Tengahari tadi (1 Ogos 2013), TV9 menyiarkan berita mengenai wanita tua yang menjual rebung itu, lima minit selepas siaran berita itu, ada rakan Facebook terus memaparkan status "Tok Jual Rebung di TV9' di halaman mereka.

Status itu mendapat like lebih 200 dan lebih 50 komen dari rakan-rakan Facebook.

Paling Nana terasa pilu, ketika mendengar suara wanita tua itu yang terketar-ketar dan tersangkut-sangkut ketika menjawab soalan daripada Wartawan TV9 yang sedang menemubualnya.

Berikut adalah perbualan mereka:

Wartawan TV9 : Rebung tu tok bawa sehari berapa? banyak mana?
Tok Puteh : Sehari tekuh (kadang) seraga ni.

Wartawan TV9 : Dapat berapa ringgit tok sehari.
Tok Puteh : Sehari tak tau, bubuh dalam ni bawa balik (sambil menunjukkan karung plastik yang berisi wang).

Wartawan TV9 : kira tiga ringgit lah satu.. rebung tu tok ambil daripada mana
Tok Puteh : Anak menakan (saudara) angkat cari.. depa motong (penoreh getah)

Wartawan TV9 : Tok sihat lagi? boleh jalan lagi?
Tok Puteh : sihat

Wartawan TV9 : Boleh jalan lagi no..Ni habis pukul berapa tok?
Tok Puteh : Kalau habis awal, awal balik



Thursday, 1 August 2013

Bazar Ramadan Pelancongan

NANA lihat Bazar Ramadan yang beroperasi setahun sekali sempena umat Islam berpuasa itu, memang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong, apatah lagi pelbagai makanan tradisonal di negara ini memang unik sekali dan pastinya menyelerakan.

Nana berkesempatan turut serta semasa lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninjau Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Justeru itu, Mukhriz optimis beberapa Bazar Ramadan di Negeri Kedah akan dipromosikan dengan lebih giat pada masa-masa akan datang agar ianya menjadi satu tarikan pelancong.

Mukhriz berkata, Bazar Ramadan mempunyai potensi untuk dijadikan satu daya tarikan pelancong kerana ianya mempunyai pelbagai cita rasa makanan yang digemari oleh pelancong asing.

Katanya, kerajaan negeri akan melihatnya daripada pelbagai aspek untuk memberi suntikan semula terhadap bazar-bazar Ramadan di Negeri Kedah, agar ianya dapat menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tumpuan setiap tahun.

"Saya ingat mungkin ni ke depan nanti kita akan cuba buat promosi kerana budaya bazar Ramadan ini, mungkin tak diketahui oleh pelancong, tetapi saya yakin kalau mereka tahu meraka datang dan mereka akan dapat lihat begitu banyak sekali juadah-juadah yang ditawarkan dan ini sebagai satu tarikan untuk pelancongan," ujar Mukhriz


Katanya, Bazar Ramadan mempunyai keunikan pada ketika umat Islam berpuasa sahaja, ianya akan berjalan selama sebulan sahaja pada setiap tahun dan tidak sesuai untuk dioperasikan pada setiap bulan sepanjang masa.

Mukhriz berkata, hasil tinjauannya terhadap peniaga-peniaga Bazar Ramadan kebanyakkan mereka memperolehi pendapatan yang agak memberangsangkan pada setiap tahun, apatah lagi ianya menjadi tumpuan pelancong.

Sempena kunjungan ke Bazar Ramadan di situ, Mukhriz juga sempat memberikan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Tuesday, 23 July 2013

Islam Sweden Puasa 24 Jam

WILAYAH Kiruna di Sweden adalah antara lokasi yang cukup terkenal dengan fenomena alam menakjubkan dengan lembayung berwarna akibat kilauan daripada pantulan sipi cahaya matahari terhadap debu dan kabus.

Kiruna juga adalah kawasan paling tinggi di Sweden turut mengalami fenomena siang lebih panjang daripada malam dan ada ketikanya mengalami siang selama 24 jam, begitu juga sebaliknya ada musim-musim malamnya lebih panjang.

Di situ, matahari tidak terbenam di antara 30 Mei dan 15 Julai, dan siang kelihatan berpanjangan dari awal Mei hingga awal bulan Ogos. Tempoh bahawa matahari tidak kelihatan pula berlangsung dari awal Disember hingga awal Januari, dan ketika itu hanya berlaku beberapa jam senja, itulah satu-satunya cahaya yang ada.

Bagi Ramadan kali ini, komuniti Islam di Kiruna, kebingungan dalam menjalankan ibadah puasa. Lintasan panjang matahari ketika Ramadan tiba yang menjadi persoalan. 

Di utara Kiruna, matahari 24 jam tetap terang seharian sehingga tidak memberi kesempatan pada malam.

"Kiruna tempat paling tinggi di wilayah ini (Sweden). Matahari tidak pernah terbenam selama beberapa bulan,” kata seorang Muslim Kiruna, Ali Melhem.


Lelaki berusia 45 tahun ini mengatakan waktu puasa yang panjang tentu membuat dirinya dan orang Islam lainnya kepenatan. Melhem tinggal di Kiruna sudah lebih dari 24 tahun. Sebelum ini Ramadan tiba ketika musim luruh.

Tetapi, berbeza kali ini, Ramadan tiba ketika wilayah itu berdekatan Kutub Utara ini memasuki awal musim panas.

Melhem memang tetap berpuasa, namun dia mengatakan, puasa 24 jam penuh menjadi dugaan yang begitu berat, terutama bagi isteri dan anak-anaknya.

Saya dan istri sudah berbincang dengan ulama-ulama di Iran dan Iraq,” kata Melhem.

Perbincangan itu bagaimana pun tidak memberi jawapan yang jelas. Melhem mengaku beliau menganut Islam Syiah. Para ulama menyampaikan kepadanya untuk menunda puasa sehingga musim gugur tiba. Sedangkan ulama lain memberi saranan agar tetap berpuasa mengikut waktu berbuka di wilayah matahari terbenam yang terdekat.

Petunjuk itu memang ada. Sebahagian Muslim Kiruna juga mengikuti saranan ulama itu. Wilayah terdekat dari Kiruna adalah Lulea dan Umea. Di dua tempat itu, malam diberi kesempatan untuk muncul. Tetapi hanya satu jam. Bermakna, puasa di bahagian selatan Kiruna mencapai 23 jam!

Dari sembilan juta populasi di Sweden, tercatat kira-kira 350 ribu penganut Islam.


Islamic Center di Malmo, Sweden mengatakan, komuniti muslim tersebut memang kebanyakan tinggal di wilayah-wilayah tinggi. Musim panas ketika Ramadhan di negeri tersebut, hingga sekarang belum mendapat penjelasan jelas dari pakar agama dan ulama.

Di Finland contohnya, bagi kalangan Islam Sunni di negara itu memilih mengabaikan panjangnya hari-hari berpuasa. Mereka mengikuti waktu berpuasa muslim di Makkah atau di Madinah, Arab Saudi.- sumber Kartikel.com