Showing posts with label alor setar. Show all posts
Showing posts with label alor setar. Show all posts

Tuesday, 6 August 2013

Edar Bubur Lambuk Di Tol


MENJELANG Aidilfitri yang jangka diraikan Khamis ini, mereka yang tinggal di perantauan mula pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, orang ramai dan umat Islam amnya menjadi sibuk dengan pelbagai persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri.

Lebuhraya dan jalan-jalan utama mulai sesak, Nana juga turut sibuk, tapi sibuk dengan pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung di Plaza Tol Alor Setar Utara, di Alor Setar, Kedah.


Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) mengambil inisiatif mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna-pengguna lebuhraya utara-selatan sebagai bekalan untuk mereka berbuka puasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Sebanyak 1,000 kotak bubur lambuk diedarkan kepada pengguna lebuhraya di plaza tol itu oleh Exco Agama, Sumber Tenaga dan Pelancongan Negeri Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid bersama kakitangan YINK termasuk Pengurus Besarnya, Datuk Mohamad Che Nai.

Mohd Rawi berkata, sumbangan itu, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kepada keluarga yang sibuk untuk persiapan hari raya ataupun mereka dalam perjalanan jauh kerana tiada ruang untuk memasaknya sendiri.

Selain itu, katanya, sumbangan bubur lambuk itu merupakan tradisi bagi YINK dalam menyemarakkan program Ilha Ramadan di seluruh negeri Kedah.
Seliau berkata, selain di plaza tol, sebelum ini YINK turut mengedarkan bubur lambuk di tempat-tempat awam seperti bazar Ramadan dan kompleks Pekan Rabu Alor Setar yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Tradisi ini kami dalam yayasan islam memang menjadi agensi utama dalam menggerakkan ilha ramadan bersama dengan yang amat berhormat datuk paduka menteri besar iaitu di seluruh daerah di kedah dan juga dengan ngo-ngo dan program sumbangan bubur lambuk yang akan kita adakan ini adalah tambahan daripada program ilha ramadan yang telah diadakan dan insyaallah kita akan mengadakan lagi lebih banyak program yang berkaitan dengan keagamaan pada masa yang akan datang insyaallah," kata Mohd Rawi.

Bubur lambuk itu siap dan habis diedarkan dalam tempoh tidak sampai satu jam.


Bubur lambuk merupakan hidangan yang popular di seluruh negara terutamanya di musim bulan Ramadan dan YINK telah bertahun-tahun mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Monday, 5 August 2013

Tarikan TH Hotel Kedah

BEBERAPA kali Nana melewati jalan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, beberapa kali juga Nana pastinya terpandang akan bangunan yang baru siap dibina berhampiran sawah-sawah padi.


Akhirnya Nana tahu, bangunan itu adalah sebuah hotel baharu milik anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH) yang dinamakan sebagai TH Hotel & Convention Centre Alor Setar (TH Hotel Alor Setar).

Menariknya, hotel itu merupakan satu-satunya hotel di bandaraya Alor Setar yang berhampiran lapangan terbang, pemandangannya pula saujana mata memandang dengan panorama sawah-sawah padi yang luas terbentang.

Rasa teringin Nana untuk melihat
dengan lebih dekat kesempurnaan yang ditawarkan TH Hotel Alor Setar, apatah lagi promosi 'Ramadan Bufet' hotel itu menawarkan hidangan istimewa BBQ Kibas dan Nasi Mandi.

Akhirnya hasrat tercapai jua bila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir melakukan lawatan tidak rasmi ke hotel itu dan Nana turut ikut serta.
Masuk sahaja ke lobi hotel, hati berkata memang best, apatah lagi kakitangan hotel itu memang friendly sekali.

Lawatan Mukhriz dan isteri itu turut disertai oleh ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan juga ahli exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajuddin Abdullah.

Dalam lawatan itu Mukhriz diiringi dan ditaklimatkan oleh tiga bos hotel itu Pengurus Besar Mustafa Kamal,
Pengarah Jualan Junaidah Jaafar dan Pengurus Pejabat Utama, Jamal Sham.

Menurut Mustafa, TH Hotel Alor Setar dilihat mempunyai potensi untuk menjalinkan kerajasama dengan kerajaan negeri untuk promosi pelancongan kesihatan di negeri kedah.

Katanya, hotel itu mempunyai potensi untuk membangunkan pelancongan kesihatan kerana Kedah mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang lengkap untuk menarik mereka yang ingin menjalani rawatan perubatan di negeri ini, sambil berehat.

Beliau berkata, TH Hotel Alor Setar dijangka dapat menyediakan peluang yang lebih baik dan cerah untuk industri hospitaliti ini, berdasarkan lokasi hotel dilingkungi kehijauan pemandangan sawah padi, berhampiran lapangan terbang dan hanya 15 minit perjalanan daripada bandaraya Alor Setar, Kedah.

Komitmen itu turut disuarakan Mustafa kepada Menteri Besar Kedah, dalam program lawatan yang mengambil masa lebih satu jam itu.

"As far i am consernt tadi datuk menteri quit happy dengan kita punya layout dengan kita punya falities dan i am sure dia akan tolong kita untuk promote hotel ni, i also mention to him akan promete health tourism dekat Kedah, sebab now enjoying health tourism in penang, jadi kita nak bawa, jadi kita nak bawa ke Kedah, Kedah pun mempunyai falities yang sama, so that why kita rasa its time, kedah should promote health tourism, that what we want to do, and also want to promete kita punya culture-culture yang dah lama dilupakan oleh orang-orang kedah ni kan," katanya kepada stesyen tv, selepas majlis lawatan itu.


Kata Mustafa, hotel itu dapat menyediakan tetamu dengan keselesaan dan kemudahan, semua bilik tetamu di TH Hotel Alor Setar adalah luas dengan kemudahan yang difikirkan, termasuk kolam renang yang berasingan untuk tetamu lelaki dan wanita untuk menarik pelancong domestik dan segmen keluarga.

Operasi Raya JPJ

MENJELANG Syawal tidak beberapa hari lagi, lebuhraya dan jalan raya mulai sibuk dengan orang ramai yang mula balik kampung dan keluar untuk membeli-belah.

Pesan Nana, berhati-hatilah semasa dalam perjalanan dan elakkan diri masing-masing menjadi 'samseng jalanan'.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mempergiatkan operasi bersepadu bersama-sama agensi lain agar perjalanan dan lalu lintas di seluruh negara menjadi lancar dan selamat tanpa dicemarkan oleh sesiapa sahaja yang cuba melanggari ataupun tidak mematuhi peraturan di jalan raya.

Nana sempat ikut serta dalam operasi bersepadu menjelang Aidil Fitri yang dilancarkan oleh JPJ di Alor Setar, Kedah.


Operasi kali ini di sekitar Lebuhraya Darulaman, Jalan Sultanah dan jalan hadapan Hospital Lama Alor Setar, Nana lihat tumpuan operasi lebih fokus terhadap penunggang-penunggang motosikal.

Apa yang menarik dalam operasi itu, hasrat lima lelaki untuk keluar membeli belah di sekitar bandaraya Alor Setar, tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam operasi itu.

Nasib lebih malang buat mereka, kelima-limanya didapati positif dadah ‘methamphetamine’ apabila ujian saringan air kencing dibuat ke atas mereka dalam operasi itu, yang turut disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun itu, ditahan berhadapan Hospital Lama Alor Setar sekitar pukul 10.30 malam.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Kedah, Md Ziki A.Rahman, daripada lebih 1,000 motosikal dan kenderaan yang ditahan, AADK memilih secara rambang seramai 33 penunggang dan pembonceng motosikal untuk menjalani ujian saringan air kencing dan daripada itu hanya lima daripada mereka positif dadah.

Ketika ditahan, kesemuanya tinggal di kampung-kampung berdekatan Alor Setar, memberi alasan keluar untuk ke bandar bagi mencari barangan dan keperluan untuk persiapan hari raya.

Kelima mereka itu dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Md Ziki berkata, hasil pemeriksaan didapati sebanyak 146 kes bagi penunggang motosikal yang tidak berlesen dan pemandu kenderaan yang tidak mempunyai cukai jalan dapat di kesan.

Friday, 2 August 2013

Tok Jual Rebung di TV9



TERSENTUH hati Nana ketika melihat seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk. 

Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.

Mata Nana terus terpaku ke arah nenek itu, kelihatan beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.

Rakan Nana, Wartawan TV9 Kedah kebetulan ada bersama, menghampiri wanita itu bagi menyingkap dan merakamkan kisahnya.

Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.

Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.

Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.

Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.

Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.

Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekahnya.

Tengahari tadi (1 Ogos 2013), TV9 menyiarkan berita mengenai wanita tua yang menjual rebung itu, lima minit selepas siaran berita itu, ada rakan Facebook terus memaparkan status "Tok Jual Rebung di TV9' di halaman mereka.

Status itu mendapat like lebih 200 dan lebih 50 komen dari rakan-rakan Facebook.

Paling Nana terasa pilu, ketika mendengar suara wanita tua itu yang terketar-ketar dan tersangkut-sangkut ketika menjawab soalan daripada Wartawan TV9 yang sedang menemubualnya.

Berikut adalah perbualan mereka:

Wartawan TV9 : Rebung tu tok bawa sehari berapa? banyak mana?
Tok Puteh : Sehari tekuh (kadang) seraga ni.

Wartawan TV9 : Dapat berapa ringgit tok sehari.
Tok Puteh : Sehari tak tau, bubuh dalam ni bawa balik (sambil menunjukkan karung plastik yang berisi wang).

Wartawan TV9 : kira tiga ringgit lah satu.. rebung tu tok ambil daripada mana
Tok Puteh : Anak menakan (saudara) angkat cari.. depa motong (penoreh getah)

Wartawan TV9 : Tok sihat lagi? boleh jalan lagi?
Tok Puteh : sihat

Wartawan TV9 : Boleh jalan lagi no..Ni habis pukul berapa tok?
Tok Puteh : Kalau habis awal, awal balik