TERSENTUH hati Nana ketika melihat seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk.
Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.
Mata Nana terus terpaku ke arah nenek itu, kelihatan beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.
Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.
Rakan Nana, Wartawan TV9 Kedah kebetulan ada bersama, menghampiri wanita itu bagi menyingkap dan merakamkan kisahnya.
Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.
Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.
Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.
Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.
Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.
Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.
Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekahnya.
Tengahari tadi (1 Ogos 2013), TV9 menyiarkan berita mengenai wanita tua yang menjual rebung itu, lima minit selepas siaran berita itu, ada rakan Facebook terus memaparkan status "Tok Jual Rebung di TV9' di halaman mereka.
Status itu mendapat like lebih 200 dan lebih 50 komen dari rakan-rakan Facebook.
Paling Nana terasa pilu, ketika mendengar suara wanita tua itu yang terketar-ketar dan tersangkut-sangkut ketika menjawab soalan daripada Wartawan TV9 yang sedang menemubualnya.
Berikut adalah perbualan mereka:
Wartawan TV9 : Rebung tu tok bawa sehari berapa? banyak mana?
Tok Puteh : Sehari tekuh (kadang) seraga ni.
Wartawan TV9 : Dapat berapa ringgit tok sehari.
Tok Puteh : Sehari tak tau, bubuh dalam ni bawa balik (sambil menunjukkan karung plastik yang berisi wang).
Wartawan TV9 : kira tiga ringgit lah satu.. rebung tu tok ambil daripada mana
Tok Puteh : Anak menakan (saudara) angkat cari.. depa motong (penoreh getah)
Wartawan TV9 : Tok sihat lagi? boleh jalan lagi?
Tok Puteh : sihat
Wartawan TV9 : Boleh jalan lagi no..Ni habis pukul berapa tok?
Tok Puteh : Kalau habis awal, awal balik
ada orang yang masih muda remaja, sihat dan kuat malas nak buat kerja.... ada pulak yang ada bini harap bini saja buat kerja....
ReplyDeletetabik la kat nenek tu.....
ReplyDeletekasihannya nenek ni...MB Kedah takan tak tolong nenek ni? takkan bg sedekah je? tolong lah nenek ni bg wang ke, tempat tinggal atau kemudahan lain lain. siapa je yg sanggup tgk nenek ni jalan 45km semata mata utk mencari rezeki! Ya ALLAH :'(
ReplyDeleteanisah.. nenek tu bukan jalan kaki la.. dengar kata dia sewa kereta pergi dan balik RM40 sehari, jual rebung tu dapat la RM60, tolak modal dan tambang kereta sewa dapatlah untung RM10 sehari... lagi kesian
ReplyDeleteNenek tu lebih mulia daripada orang yang meminta-minta..kaki ampu..kaki rasuah..rezeki yang dia dapat berkat..sikit tetapi hidup bahagia..Tahniah MB Kedah..tak semua orang suka di beri bantuan..hidup satu perjuangan
ReplyDelete