Showing posts with label Mukhriz. Show all posts
Showing posts with label Mukhriz. Show all posts

Thursday, 26 September 2013

Agong Hadir Hormat Azizan

Yang Di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah menziarah jenazah bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia siang tadi, di Masjid Al-Ehsan, Jalan Langgar,Alor Setar Kedah.

Seri Paduka berdua tiba di masjid itu pukul 3.50 petang, turut sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Baginda berdua turut berjumpa dengan keluarga allahyarham di masjid itu untuk mengucapkan takziah.

Turut hadir Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamad,Presiden Pas  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas Mohamad.

Azizan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Nor Zaini Morad mengesahkan berkata, Azizan meninggal disebabkan kegagalan fungsi organ dan jangkitan kuman dalam darah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir disamping isterinya Puan Sri Faekah Syeikh Hamzah bersama beberapa anak allahyarham, kenalan dan kakitangan hospital yang merawat beliau.

Semalam, Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau dilaporkan dalam keadaan kritikal, selepas mengalami komplikasi jantung yang serius dipercayai akibat jangkitan kuman.

Azizan, 69, yang bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan sejak seminggu lalu, dikatakan pengsan selepas serangan jantung pertama kira-kira jam 3 pagi semalam dan kini dipantau rapi oleh doktor.

Pada 9 mei lalu, Azizan menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan diabetes selepas dipindahkan dari Kedah Medical Centre (KMC), di Alor Setar.

Turut hadir di HSB bagi memberi penghormatan terkahir kepada jenazah Allahyarham ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan beberapa orang pemimpim PAS.

Menurut Mukriz, kehilangan Azizan dirasai oleh semua masyarakat tanpa mengira pandangan politik dan Allahyarham seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Sementara itu, majlis pengkebumian jenazah Allahyarham berlangsung dengan sempurna selepas solat Asar di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Lebih 10,000 orang menghadiri majlis pengkebumian itu nanti sepertimana yang berlaku pada majlis pengkebumian bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor pada 2002 yang lalu.

Allahyarham Fadzil dikebumikan ditempat yang sama selepas meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.

Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah,dan disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Masa jenazah beliau hendak disemadikan ribuan rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau sehinggakan jalan raya sesak teruk sehingga 20 km.

Sultan Abdul Halim turut berangkat ke majlis pengkebumian Allahyarham Fadzil ketika itu.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Azizan.

Sunday, 18 August 2013

Bayar Artis Raya RM100,000

NANA tertarik dengan entry terbaru daripada bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Helmi Khalid dalam laman sosial Facebooknya, mengkritik majlis sambutan Aidilfitri Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, berlangsung di kediaman rasmi di Sri Mentalon, Alor Setar, Kedah.


Beliau mempertikaikan terhadap kewajaran majlis sambutan itu dengan perbelanjaan yang besar, terutama untuk bayaran artis-artis yang diundang menyerikan majlis itu.

Nana turut hadir ke majlis itu dan antara artis ternama yang membuat persembahan pada hari itu ialah Jamal Abdillah, DJ Dave dan Mazlan Pet Pet.

Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah turut berangkat menghadiri majlis itu bersama rakyat jelata.

Berikut adalah paparan status dalam entry yang ditulis oleh Helmi:

"Di ketika umat Islam Mesir bertarung nyawa mempertahan hak Islam...MB Mukhriz slps lulus hampir RM 100,000.00 utk byr artis utk majlis raya di Sri Mentaloon...lulus pula utk JAMUAN SHJ hampir RM 500,000.00, BN Menang Rakyat Senang....harga khemah, bunga canga...menyusul kemudian..."


Beberapa komen dari rakan Facebooknya menyusul dengan nada sinis, antaranya Abd Malik Ahmad menulis: "artis didahulukan rakyat diperbodoh2kan dgn sesuap jamuan........".

Apa pun Nana rasa, itu sudah menjadi lumrah kata mengata daripada pihak yang kehilangan 'tahta' kepada pihak yang merampas 'tahta' mereka.

Mungkin juga kata-kata itu ada kebenarannya ataupun sekadar meluahkan rasa kecewa yang amat sangat kerana kali ini mereka tidak dapat beraya di Sri Mentalon, setelah lima tahun berturut-turut meraikannya dengan badget yang sangat rendah?.

Berapa agaknya mereka memperuntukkan untuk meraikan majlis Aidilfiri di Sri Mentalon pada setiap tahun?.

Friday, 16 August 2013

Cardiff City Latih Kedah

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan bekerjasama dengan pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City FC dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negeri dan pengurusannya.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak berlangsung di Hotel TH, Alor Setar, Kedah.

KFA diwakili Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat KFA Aminuddin Omar manakala Cardiff City FC diwakili Pengarahnya Datuk Lye Ek Seang.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang juga Presiden KFA serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik Cardiff City FC.

Mukhriz dalam ucapannya berkata kerjasama hasil MoU itu akan dibincangkan dengan segera dan KFA akan mendapat banyak bantuan daripada kelab Liga Perdana Inggeris itu terutama dalam aspek kejurulatihan dan pendekatan terkini dalam bola sepak.

Katanya kedua-dua pihak juga akan berbincang soal pertukaran pemain selain latihan bersama sama ada di Kedah atau di Cardiff City.

Tambah Mukhriz pihaknya akan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan akademi itu yang mungkin dibina di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Sungai Petani, Kedah.

"yang pentingnya dari segi prasarana latihan akan ditambah baik berbanding dengan apa yang sedia ada pada waktu ini dengan suntikan tenaga mahir jurulatih yang dapat dikenal pasti oleh pihak Tan Sri Vincent Tan sebagai pemilik pasukan Cardiff City," ujar Mukhriz.

Sementara itu, Tan berkata beliau
berharap rundingan kerjasama untuk pembinaan akademi bola sepak itu diadakan secepat mungkin dan jika tapaknya sesuai ia boleh dibina dalam masa terdekat.

Monday, 5 August 2013

Tarikan TH Hotel Kedah

BEBERAPA kali Nana melewati jalan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, beberapa kali juga Nana pastinya terpandang akan bangunan yang baru siap dibina berhampiran sawah-sawah padi.


Akhirnya Nana tahu, bangunan itu adalah sebuah hotel baharu milik anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH) yang dinamakan sebagai TH Hotel & Convention Centre Alor Setar (TH Hotel Alor Setar).

Menariknya, hotel itu merupakan satu-satunya hotel di bandaraya Alor Setar yang berhampiran lapangan terbang, pemandangannya pula saujana mata memandang dengan panorama sawah-sawah padi yang luas terbentang.

Rasa teringin Nana untuk melihat
dengan lebih dekat kesempurnaan yang ditawarkan TH Hotel Alor Setar, apatah lagi promosi 'Ramadan Bufet' hotel itu menawarkan hidangan istimewa BBQ Kibas dan Nasi Mandi.

Akhirnya hasrat tercapai jua bila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir melakukan lawatan tidak rasmi ke hotel itu dan Nana turut ikut serta.
Masuk sahaja ke lobi hotel, hati berkata memang best, apatah lagi kakitangan hotel itu memang friendly sekali.

Lawatan Mukhriz dan isteri itu turut disertai oleh ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan juga ahli exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajuddin Abdullah.

Dalam lawatan itu Mukhriz diiringi dan ditaklimatkan oleh tiga bos hotel itu Pengurus Besar Mustafa Kamal,
Pengarah Jualan Junaidah Jaafar dan Pengurus Pejabat Utama, Jamal Sham.

Menurut Mustafa, TH Hotel Alor Setar dilihat mempunyai potensi untuk menjalinkan kerajasama dengan kerajaan negeri untuk promosi pelancongan kesihatan di negeri kedah.

Katanya, hotel itu mempunyai potensi untuk membangunkan pelancongan kesihatan kerana Kedah mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang lengkap untuk menarik mereka yang ingin menjalani rawatan perubatan di negeri ini, sambil berehat.

Beliau berkata, TH Hotel Alor Setar dijangka dapat menyediakan peluang yang lebih baik dan cerah untuk industri hospitaliti ini, berdasarkan lokasi hotel dilingkungi kehijauan pemandangan sawah padi, berhampiran lapangan terbang dan hanya 15 minit perjalanan daripada bandaraya Alor Setar, Kedah.

Komitmen itu turut disuarakan Mustafa kepada Menteri Besar Kedah, dalam program lawatan yang mengambil masa lebih satu jam itu.

"As far i am consernt tadi datuk menteri quit happy dengan kita punya layout dengan kita punya falities dan i am sure dia akan tolong kita untuk promote hotel ni, i also mention to him akan promete health tourism dekat Kedah, sebab now enjoying health tourism in penang, jadi kita nak bawa, jadi kita nak bawa ke Kedah, Kedah pun mempunyai falities yang sama, so that why kita rasa its time, kedah should promote health tourism, that what we want to do, and also want to promete kita punya culture-culture yang dah lama dilupakan oleh orang-orang kedah ni kan," katanya kepada stesyen tv, selepas majlis lawatan itu.


Kata Mustafa, hotel itu dapat menyediakan tetamu dengan keselesaan dan kemudahan, semua bilik tetamu di TH Hotel Alor Setar adalah luas dengan kemudahan yang difikirkan, termasuk kolam renang yang berasingan untuk tetamu lelaki dan wanita untuk menarik pelancong domestik dan segmen keluarga.

Friday, 2 August 2013

Tok Jual Rebung di TV9



TERSENTUH hati Nana ketika melihat seorang nenek tua menjinjing sebuah raga plastik yang di dalamnya terdapat berpuluh bungkusan rebung jeruk. 

Bakul dan kandungan di dalamnya kelihatan amat berat bagi wanita menjangkau usia hampir seabad itu, namun digagahi juga.

Mata Nana terus terpaku ke arah nenek itu, kelihatan beliau berjalan terhinjut-hinjut ke arah satu lokasi di Bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Dengan mengalas sehelai kain, nenek itu duduk bersimpuh dan ada kalanya bersila sambil menjaja rebungnya.

Rakan Nana, Wartawan TV9 Kedah kebetulan ada bersama, menghampiri wanita itu bagi menyingkap dan merakamkan kisahnya.

Sewajarnya pada usia yang sebegitu, wanita tua itu perlu berehat di rumah sambil beribadat, bagi meniti sisa-sisa hidupnya.

Namun tidak bagi seorang nenek tua itu, Puteh Lazim, 87, selagi kudrat dan hayatnya masih ada, beliau akan terus menjaja jeruk rebung bagi menyara kehidupan sehariannya.

Puteh tinggal di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah bersama seorang anak perempuannya Sharipah Sharif yang berusia 68 tahun dan itulah sahaja keluarganya yang masih ada.

Setiap hari sepanjang bulan ramadan ini, Puteh akan turun dari rumah sejauh 45 kilometer untuk ke bazar Ramadan itu bagi menjaja jeruk rebung.

Rezekinya cukup murah, mungkin juga atas dasar simpati daripada orang ramai, jeruk rebung dengan harga RM3.00 sebungkus itu habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Walaupun jeruk rebung dalam bakulnya sudahpun kosong, Puteh masih bersimpuh di tempat jualannya, dan masih ada rezeki lagi buat dirinya, apabila orang ramai yang lalu lalang di situ bersedekah kepadanya sekurang-kurangnya RM1.00 setiap seorang.

Kebetulan juga, di masa yang sama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sedang melawat bazar Ramadan di situ, melihat sahaja Puteh, beliau terus menghampiri nenek tua itu, bersembang-sembang sambil bertanya khabar dan turut memberi sedekahnya.

Tengahari tadi (1 Ogos 2013), TV9 menyiarkan berita mengenai wanita tua yang menjual rebung itu, lima minit selepas siaran berita itu, ada rakan Facebook terus memaparkan status "Tok Jual Rebung di TV9' di halaman mereka.

Status itu mendapat like lebih 200 dan lebih 50 komen dari rakan-rakan Facebook.

Paling Nana terasa pilu, ketika mendengar suara wanita tua itu yang terketar-ketar dan tersangkut-sangkut ketika menjawab soalan daripada Wartawan TV9 yang sedang menemubualnya.

Berikut adalah perbualan mereka:

Wartawan TV9 : Rebung tu tok bawa sehari berapa? banyak mana?
Tok Puteh : Sehari tekuh (kadang) seraga ni.

Wartawan TV9 : Dapat berapa ringgit tok sehari.
Tok Puteh : Sehari tak tau, bubuh dalam ni bawa balik (sambil menunjukkan karung plastik yang berisi wang).

Wartawan TV9 : kira tiga ringgit lah satu.. rebung tu tok ambil daripada mana
Tok Puteh : Anak menakan (saudara) angkat cari.. depa motong (penoreh getah)

Wartawan TV9 : Tok sihat lagi? boleh jalan lagi?
Tok Puteh : sihat

Wartawan TV9 : Boleh jalan lagi no..Ni habis pukul berapa tok?
Tok Puteh : Kalau habis awal, awal balik



Thursday, 1 August 2013

Bazar Ramadan Pelancongan

NANA lihat Bazar Ramadan yang beroperasi setahun sekali sempena umat Islam berpuasa itu, memang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong, apatah lagi pelbagai makanan tradisonal di negara ini memang unik sekali dan pastinya menyelerakan.

Nana berkesempatan turut serta semasa lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninjau Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Justeru itu, Mukhriz optimis beberapa Bazar Ramadan di Negeri Kedah akan dipromosikan dengan lebih giat pada masa-masa akan datang agar ianya menjadi satu tarikan pelancong.

Mukhriz berkata, Bazar Ramadan mempunyai potensi untuk dijadikan satu daya tarikan pelancong kerana ianya mempunyai pelbagai cita rasa makanan yang digemari oleh pelancong asing.

Katanya, kerajaan negeri akan melihatnya daripada pelbagai aspek untuk memberi suntikan semula terhadap bazar-bazar Ramadan di Negeri Kedah, agar ianya dapat menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tumpuan setiap tahun.

"Saya ingat mungkin ni ke depan nanti kita akan cuba buat promosi kerana budaya bazar Ramadan ini, mungkin tak diketahui oleh pelancong, tetapi saya yakin kalau mereka tahu meraka datang dan mereka akan dapat lihat begitu banyak sekali juadah-juadah yang ditawarkan dan ini sebagai satu tarikan untuk pelancongan," ujar Mukhriz


Katanya, Bazar Ramadan mempunyai keunikan pada ketika umat Islam berpuasa sahaja, ianya akan berjalan selama sebulan sahaja pada setiap tahun dan tidak sesuai untuk dioperasikan pada setiap bulan sepanjang masa.

Mukhriz berkata, hasil tinjauannya terhadap peniaga-peniaga Bazar Ramadan kebanyakkan mereka memperolehi pendapatan yang agak memberangsangkan pada setiap tahun, apatah lagi ianya menjadi tumpuan pelancong.

Sempena kunjungan ke Bazar Ramadan di situ, Mukhriz juga sempat memberikan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.