Showing posts with label bubur. Show all posts
Showing posts with label bubur. Show all posts

Tuesday, 6 August 2013

Edar Bubur Lambuk Di Tol


MENJELANG Aidilfitri yang jangka diraikan Khamis ini, mereka yang tinggal di perantauan mula pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, orang ramai dan umat Islam amnya menjadi sibuk dengan pelbagai persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri.

Lebuhraya dan jalan-jalan utama mulai sesak, Nana juga turut sibuk, tapi sibuk dengan pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung di Plaza Tol Alor Setar Utara, di Alor Setar, Kedah.


Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) mengambil inisiatif mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna-pengguna lebuhraya utara-selatan sebagai bekalan untuk mereka berbuka puasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Sebanyak 1,000 kotak bubur lambuk diedarkan kepada pengguna lebuhraya di plaza tol itu oleh Exco Agama, Sumber Tenaga dan Pelancongan Negeri Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid bersama kakitangan YINK termasuk Pengurus Besarnya, Datuk Mohamad Che Nai.

Mohd Rawi berkata, sumbangan itu, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kepada keluarga yang sibuk untuk persiapan hari raya ataupun mereka dalam perjalanan jauh kerana tiada ruang untuk memasaknya sendiri.

Selain itu, katanya, sumbangan bubur lambuk itu merupakan tradisi bagi YINK dalam menyemarakkan program Ilha Ramadan di seluruh negeri Kedah.
Seliau berkata, selain di plaza tol, sebelum ini YINK turut mengedarkan bubur lambuk di tempat-tempat awam seperti bazar Ramadan dan kompleks Pekan Rabu Alor Setar yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Tradisi ini kami dalam yayasan islam memang menjadi agensi utama dalam menggerakkan ilha ramadan bersama dengan yang amat berhormat datuk paduka menteri besar iaitu di seluruh daerah di kedah dan juga dengan ngo-ngo dan program sumbangan bubur lambuk yang akan kita adakan ini adalah tambahan daripada program ilha ramadan yang telah diadakan dan insyaallah kita akan mengadakan lagi lebih banyak program yang berkaitan dengan keagamaan pada masa yang akan datang insyaallah," kata Mohd Rawi.

Bubur lambuk itu siap dan habis diedarkan dalam tempoh tidak sampai satu jam.


Bubur lambuk merupakan hidangan yang popular di seluruh negara terutamanya di musim bulan Ramadan dan YINK telah bertahun-tahun mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Thursday, 1 August 2013

Bazar Ramadan Pelancongan

NANA lihat Bazar Ramadan yang beroperasi setahun sekali sempena umat Islam berpuasa itu, memang berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancong, apatah lagi pelbagai makanan tradisonal di negara ini memang unik sekali dan pastinya menyelerakan.

Nana berkesempatan turut serta semasa lawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninjau Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Justeru itu, Mukhriz optimis beberapa Bazar Ramadan di Negeri Kedah akan dipromosikan dengan lebih giat pada masa-masa akan datang agar ianya menjadi satu tarikan pelancong.

Mukhriz berkata, Bazar Ramadan mempunyai potensi untuk dijadikan satu daya tarikan pelancong kerana ianya mempunyai pelbagai cita rasa makanan yang digemari oleh pelancong asing.

Katanya, kerajaan negeri akan melihatnya daripada pelbagai aspek untuk memberi suntikan semula terhadap bazar-bazar Ramadan di Negeri Kedah, agar ianya dapat menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tumpuan setiap tahun.

"Saya ingat mungkin ni ke depan nanti kita akan cuba buat promosi kerana budaya bazar Ramadan ini, mungkin tak diketahui oleh pelancong, tetapi saya yakin kalau mereka tahu meraka datang dan mereka akan dapat lihat begitu banyak sekali juadah-juadah yang ditawarkan dan ini sebagai satu tarikan untuk pelancongan," ujar Mukhriz


Katanya, Bazar Ramadan mempunyai keunikan pada ketika umat Islam berpuasa sahaja, ianya akan berjalan selama sebulan sahaja pada setiap tahun dan tidak sesuai untuk dioperasikan pada setiap bulan sepanjang masa.

Mukhriz berkata, hasil tinjauannya terhadap peniaga-peniaga Bazar Ramadan kebanyakkan mereka memperolehi pendapatan yang agak memberangsangkan pada setiap tahun, apatah lagi ianya menjadi tumpuan pelancong.

Sempena kunjungan ke Bazar Ramadan di situ, Mukhriz juga sempat memberikan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.