Nana berkesempatan ke Sungai Limau, Yan, Kedah bagi meninjau dan merasai sendiri bahang kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Apa pun Nana tertarik dengan penghasilan nira nipah di Sungai Limau dan peniaga air minuman itu kini mendapat rezeki yang berganda ekoran permintaan terhadap nira nipah meningkat sejak kempen pilihan raya bermula.
Air Nira Nipah antara minuman tradisi yang agak popular di negeri Kedah, antara kelebihan amalan meminum air nira nipah ialah menyejukkan badan.
Ianya manis lagi berkhasiat dan keenakan nira nipah bertambah apabila dicampur dengan air batu.
Nira nipah ini banyak dihasilkan secara tradisonal oleh penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan Sungai Limau, Yan, Kedah.
Bagi pengusaha nira nipah dan peniaga air minuman itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memberi satu keuntungan kepada mereka kerana permintaan terhadap minuman itu meningkat sekali ganda, berbanding sebelum ini.
Yusof Abdullah merupakan salah seorang pengusaha nira nipah, yang tinggal di Kuala Sedaka yang terletak dalam kawasan DUN Sungai Limau.
Menurutnya, menjelang PRK DUN Sungai Limau, tempahan air nira yang disadap (diambil) daripada pokok-pokok nira dari belakang rumahnya meningkat sehingga kadang-kala ianya tidak dapat memenuhi permintaan.
Yusof berkata, beliau hanya menyadap air nira nipah itu secara sambilan, namun pendapatannya agak lumayan, apatah lagi dalam PRK ini kebanyakkan orang tertumpu ke Sungai Limau.
Katanya, walaupun proses penghasilan air nira nipah itu agak renyah dan mengambil masa yang lama, namun ianya pastinya berbaloi apabila air nira yang dituai itu ditempah pelanggan.
Sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini, selain memastikan bekalan air nira kepada pelanggan tetapnya mencukupi, beliau juga menerima tetamu yang ingin menikmati keenakan air nira yang baharu sahaja dituai dari pokok.
Peniaga air nira dari pekan Yan Kechil, Salmiah Omar, pula berkata, hasil jualannya meningkat sejak beberapa hari lepas hasil tempias PRK DUN Sungai Limau.
Pada hari biasa, beliau sekadar menjual antara 60 hingga 80 bungkus air nira nipah sehari, namun sejak tiga hari lepas hasil jualannya meningkat sehingga 200 bungkus sehari.
Salmiah menjual air nira nipah itu dengan harga RM2 sebungkus.
Selain dapat menyegarkan badan, bagi peminat air nira nipah, di antara mereka mendakwa, air nira nipah yang asli boleh membantu memecahkan batu karang dan mencuci buah pinggang.
No comments:
Post a Comment