Sunday, 28 July 2013

Hilangnya Maya Mexico

Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof
MEXICO CITY : Perjalanan kembara Mexico dari Malaysia mengambil masa dua hari perjalanan.

Mexico, bukan hanya terkenal dengan tarian dan muzik rancak seperti "Mariachi" iaitu satu bentuk muzik rakyat, tetapi turut kaya dengan kepelbagaian budaya, perayaan tersendiri, sejarah dan layanan mesra penduduknya.

Setibanya di lapangan terbang Mexico City, penulis dibawa ke tempat penginapan yang telah disediakan iaitu Hotel El-Ocotal, yang terletak di kawasan jajahan Atlacomulco, kira-kira 250 km dari lapangan terbang Mexico City.

Penulis berpeluang mendaki kuil Bulan (the Temple of the Moon) dan kuil Matahari (the Temple of the Sun) sejarah tinggalan tamadun Maya di Teotihuacan. Melihat pada struktur binaan kuil yang menggunakan batu dan lumpur, ia mirip binaan piramid pada zaman kegemilangan Firaun.

Struktur binaan kuil itu masih dikekalkan mengguna bahan dan bentuk yang sama.


Piramid itu adalah satu daripada bukti kewujudan tamadun Maya di Teotihuacan.

Berdasarkan sumber Insight Guides Mexico, peninggalan kuil dan struktur di sekitar kawasan Chiapas dan Guatemala yang mempunyai jaringan kukuh dengan Teotihuacan membuktikan kewujudan tamadun Maya, dalam tempoh "Late Preclassic" sekitar 300 tahun sebelum Masihi.

Bagaimanapun, tamadun Mesoamerika Purba yang gah dengan budaya, seni, astronomi, dan matematik itu tiba-tiba lenyap dari muka bumi.

"Kejatuhan tamadun Maya" menjadi satu daripada catatan sejarah terhebat yang sukar difahami sehingga kini, dan pelbagai andaian dibuat bagi menjelaskan kepupusannya.

Para sejarahawan tidak menolak bencana alam dan perebutan kuasa sebagai antara punca kepupusan tamadun Maya. Juga populasinya turut merosot, tanah yang mereka bangunkan menjadi kering-kontang, hasil produktiviti menurun, dan wabak akibat kekurangan nutrisi merebak luas.

Walaupun begitu, punca sebenar masih menjadi misteri.

Yang tinggal hanya bongkah-bongkah bangunan yang semakin dimamah usia dan masih kukuh sebagai bukti bahawa tamadun Maya pernah wujud, atau sekurang-kurangnya pernah menjejakkan kaki di Teotihuacan.

Mexico turut terkenal dengan pelbagai perayaan yang diadakan setiap bulan sepanjang tahun, dan perayaan "Dia de los Muertos" atau Hari Kematian (all souls day) mungkin adalah hari yang paling menarik bagi pengunjung luar.

Perayaan ini melambangkan 'semangat sebenar negara mestizo', yang disambut setiap tahun pada 1 dan 2 Nov.

Pada hari kematian, mereka percaya bahawa roh kanak-kanak yang mati (turut dipanggil 'angelitos' iaitu bidadari kecil) akan pulang ke rumah pada 1 Nov, manakala roh orang dewasa akan pulang sehari kemudian.

Lilin dinyalakan pada hari itu serta jalan-jalan dipenuhi kelopak bunga berwarna jingga bertujuan membantu roh-roh si mati pulang ke rumah keluarga dan orang tersayang.

Hari Kematian di negara Mexico telah melakar satu dimensi baru pemikiran masyarakatnya mengenai kematian yang selalunya diselubungi kesedihan, ketakutan dan dianggap mengerikan, apabila ia menjadi sambutan pesta yang penuh keseronokkan.

Hari Kematian disambut meriah, di mana golongan tua dan muda mempersembahkan sajian berwarna-warni kepada roh-roh si mati.

Sementara itu, makanan ruji penduduknya berasaskan jagung seperti "tortillas" yang bentuknya seakan-akan lempeng.


Bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke Mexico mungkin akan terkejut dan terpesona dengan warna jagungnya yang pelbagai.

Apa yang menarik bagi jagung Mexico ini ialah warnanya.

Hal ini kerana di Malaysia dan Asia Tenggara amnya, warna jagung kebiasaannya berwarna kuning, tetapi lain pula halnya ketika penulis melihat terdapat empat warna yang berbeza bagi jagung di Mexico.

Ia terdiri daripada warna merah, biru kehitaman, putih dan kuning.

Menurut pensyarah Universidad Intercultural De Mexico, Lupita Dominguez Mercado, masyarakat di sana percaya bahawa setiap warna jagung itu melambangkan bangsa di seluruh dunia.

Merah melambangkan golongan orang Indian Latin Amerika atau dikenali sebagai 'Red Indian', biru kehitaman melambangkan golongan kulit hitam, putih melambangkan orang Inggeris dan kuning melambangkan orang Asia.

Bagi masyarakat asli Latin Amerika, mereka percaya manusia berasal dari rumpun yang sama, cuma membezakan antara satu sama lain ialah warna kulit dan kepercayaan, kata Lupita. -- BERNAMA

1 comment: