Wednesday 25 February 2015

Pelanduk Putih Di Langkawi

LANGKAWI, KEDAH: Pelanduk putih merupakan haiwan yang amat jarang ditemui, malah kewujudan spesis ini sering dikaitkan dalam mitos cerita rakyat dan hikayat lama.

Berdasarkan cerita dongeng pelanduk putih dikatakan memiliki  kuasa ajaib dan sesiapa yang memilikinya akan beroleh rezeki yang tidak disangka-sangka.
Namun, hampir 15 tahun lalu, pada 23 Mac 2001, dua orang pencari madu lebah telah berjaya menangkap seekor pelanduk putih di Hutan Simpan Bukit Tekuh, Mukim Hulu Melaka, Langkawi.

Tetapi haiwan itu mati di mini zoo Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah selepas tiga hari diserahkan kepada pihak istana.

Dan kini pelanduk putih muncul kembali, seminggu lepas, dua beranak pencari madu lebah dari Kampung Buluh Penyumpit dekat Kuah, Langkawi, Kedah berjaya menangkap seekor pelanduk putih di kawasan hutan kaki Gunung Raya juga di kawasan Hutan Simpan Bukit Tekuh.

Dua beranak terbabit Jasmani Hassan, 37 dan anaknya Mohamad Nurhakimi, 16, terserempak dengan pelanduk putih itu ketika masuk ke hutan di kaki Gunung Raya semasa mencari madu lebah.

Menurut Mohamad Nurhakimi, pada mulanya mereka menyangka pelanduk putih itu adalah seekor arnab, lalu cuba mencarinya tetapi gagal.
Keesokkan hari, kata Mohamad Nurhakimi, mereka masuk ke hutan itu lagi dengan memasang perangkap jala dan berjaya memerangkap pelanduk putih terbabit yang bersaiz di antara 17 hingga 20 sentimeter panjang.
Katanya, tidak lama kemudian seekor lagi pelanduk berwarna perang yang lebih besar daripada pelanduk putih berjaya diperangkap.


“…saya suka masuk hutan mencari lebah, kadang-kadang saya ikut ayah masuk hutan buru pelanduk dan lepas tu kan, pada satu hari tu, saya masuk ke hutan saya nampak benda putih saya fikir arnab, lepas tu tak pa la, suruh anjing ligan (kejar), ligan-ligan belah pukat nampak pelanduk terkejut juga la. lepas tu ayah cakap boleh bela ni, saya cakap tak pa boleh bela, saya simpan kat rumah, kawan-kawan ramai dok mai tengok kat rumah…,” kata beliau.

Mereka kemudian membawa pulang kedua-dua ekor pelanduk itu dan dikurung di dalam sebuah sangkar yang disimpan di dalam rumah mereka di Kampung Buluh Penyumpit.

Rumah mereka kini menjadi perhatian jiran-jiran dan rakan-rakan terutama kanak-kanak bagi melihat secara dekat spesis haiwan yang jarang ditemui itu.
Menurut Mohamad Nurhakimi, bapanya bercadang untuk memelihara pelanduk putih terbabit.

Katanya, selama beliau masuk ke hutan mencari madu lebah, ini merupakan kali pertama beliau melihat pelanduk putih terbabit.

Pelanduk putih juga dikaitkan dalam hikayat Sulatus Salatin Sejarah Melayu apabila berlaku peristiwa anjing pemburuan raja parameswara terjun ke sungai dikejar pelanduk putih. -
nanatv.tripod.com

No comments:

Post a Comment