Thursday, 26 September 2013

Agong Hadir Hormat Azizan

Yang Di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah menziarah jenazah bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia siang tadi, di Masjid Al-Ehsan, Jalan Langgar,Alor Setar Kedah.

Seri Paduka berdua tiba di masjid itu pukul 3.50 petang, turut sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Baginda berdua turut berjumpa dengan keluarga allahyarham di masjid itu untuk mengucapkan takziah.

Turut hadir Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamad,Presiden Pas  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas Mohamad.

Azizan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Nor Zaini Morad mengesahkan berkata, Azizan meninggal disebabkan kegagalan fungsi organ dan jangkitan kuman dalam darah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir disamping isterinya Puan Sri Faekah Syeikh Hamzah bersama beberapa anak allahyarham, kenalan dan kakitangan hospital yang merawat beliau.

Semalam, Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau dilaporkan dalam keadaan kritikal, selepas mengalami komplikasi jantung yang serius dipercayai akibat jangkitan kuman.

Azizan, 69, yang bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan sejak seminggu lalu, dikatakan pengsan selepas serangan jantung pertama kira-kira jam 3 pagi semalam dan kini dipantau rapi oleh doktor.

Pada 9 mei lalu, Azizan menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan diabetes selepas dipindahkan dari Kedah Medical Centre (KMC), di Alor Setar.

Turut hadir di HSB bagi memberi penghormatan terkahir kepada jenazah Allahyarham ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan beberapa orang pemimpim PAS.

Menurut Mukriz, kehilangan Azizan dirasai oleh semua masyarakat tanpa mengira pandangan politik dan Allahyarham seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Sementara itu, majlis pengkebumian jenazah Allahyarham berlangsung dengan sempurna selepas solat Asar di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Lebih 10,000 orang menghadiri majlis pengkebumian itu nanti sepertimana yang berlaku pada majlis pengkebumian bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor pada 2002 yang lalu.

Allahyarham Fadzil dikebumikan ditempat yang sama selepas meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.

Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah,dan disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Masa jenazah beliau hendak disemadikan ribuan rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau sehinggakan jalan raya sesak teruk sehingga 20 km.

Sultan Abdul Halim turut berangkat ke majlis pengkebumian Allahyarham Fadzil ketika itu.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Azizan.

1 comment: