Tuesday, 8 October 2013

Kayuhan Wanita Solo


Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC) 2013 sudah pun melabuh tirai, ada kejutan dalam siri ke-empat LIMBC kali ini, apabila pelumba dari Asia, Kohei Yamamoto dari Jepun dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Lelaki terbuka.

Apa pun, Nana bukan nak mengulangi berita-berita kejohanan itu yang telahpun dipaparkan oleh media.

Nana nak berkongsi mengenai kekentalan semangat seorang wanita yang turut serta memeriahkan LIMBC kali ini.

Nordiana Md Daud, 36, berasal dari Sri Damansara, Kuala Lumpur bukannya pelumba hebat, tidak pernah langsung menyertai mana-mana kelab berbasikal di negara ini.

Tetapi komitmen dan semangatnya untuk menyertai acara berbasikal harus dipuji dan dikagumi.
Bagi LIMBC kali ini, Nordiana mengambil bahagian dalam perlumbaan Jambori (Fun Ride). Acara ini terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk mengayuh basikal sejauh 40 kilometer dan merasai sendiri kehebatan pertempuran sebenar di dalam LIMBC.

Acara Jambori ini terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, asalkan mempunyai basikal dan helmet sudah layak untuk memasuki perlumbaan Jambori.

Menariknyya, Nordiana tidak datang secara berkumpulan ataupun berdua untuk menyertai acara Jambori ini, beliau hanya datang seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa.

Itulah yang dilakukan oleh Nordiana, bagi mana-mana acara perlumbaan yang disertainya, beliau akan hadir seorang diri.
Sejak aktif dalam aktiviti berbasikal dua tahun lepas, beliau telah menjelajah ke beberapa tempat bagi menyertai acara berbasikal seperti Century Ride yang berlangsung di Kuantan, Kuala Terengganu dan Ipoh.

Bukan kemenangan sebagai juara yang diidamkan tetapi dapat menghabiskan perlumbaan itu sudah memberi satu kepuasan pada dirinya.

Berbasikal adalah hobinya kini dan beliau sanggup meminta cuti dari majikannya semata-mata untuk menyertai mana-mana acara berbasikal termasuk LIMBC kali ini.

Kemana-mana pun beliau pergi untuk berbasikal, beliau tetap seorang diri tanpa sesiapa di sampingnya.

1 comment: