Tuesday 17 September 2013

Puteri DiRaja Kayuh Basikal

NANA kagum dengan semangat yang ditampilkan oleh Puteri Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar, Tunku Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim yang berkayuh basikal sejauh 50 kilometer bersama rakyat jelata.

Baginda berjaya menamatkan kayuhan itu, walaupun sedikit agak letih di akhir-akhir perjalanan.

Kayuhan itu diadakan sempena sambutan Hari Malaysia di Kedah, banginda yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, bersama rakyat jelata menyertai program yang dinamakan “Kayuhan Kesihatan dan Alam Sekitar".

Tunku Intan Shafinaz bersama 800 peserta melakukan kayuhan berbasikal sejauh 50 kilometer yang bermula dari Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

Baginda mengambil masa lebih dua jam menamatkan kayuhan itu yang melalui bandaraya Alor Setar kemudian ke Jitra dan kembali semula.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama Yayasan Sultanah Bahiyah.

Turut serta dalam kayuhan itu ialah beberapa orang kenamaan termasuk Tunku Laksamana Kedah, Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kedah, Aziz Hamid berkata, program kali ini merupakan kali ketiga dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia.

Ini merupakan kali pertama Tunku Intan Shafinaz yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah dan Tunku Abdul Hamid Thani menyertai kayuhan ini bersama rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment