Showing posts with label Langkawi. Show all posts
Showing posts with label Langkawi. Show all posts

Wednesday, 10 December 2014

Inovatif Terumbu Langkawi

Tukun Tiruan meningkatkan kemampuan industri perikanan dan eko-pelancongan.

Menyedari hakikat itu sebuah syarikat produk bahan binaan dan perhotelan  yang berpengkalan di Langkawi, Kedah mewujudkan modul inovasi penggunaan tukun tiruan secara besar-besaran di sekitar Teluk Datai, Langkawi.

Ini ekoran, projek perintis tahun lepas yang menyaksikan kejayaan lima modul inovatif tukun tiruan yang dikenali sebagai ‘AMRS’  dapat menarik kehidupan marin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, kali ini sejumlah 52 modul tukun tiruan yang serupa diletakkan ke dalam laut, melebihi kawasan 1,000 meter persegi dengan tempoh matang dianggarkan selama 10 tahun.

Katanya, ARMS bakal meningkatkan kemampuan industri perikanan yang melibatkan ramai anak tempatan, serta industri eko-pelancongan yang menjana pendapatan utama pulau pelancongan itu.

Mohd Rawi yang juga ahli dewan undangan negeri (adun) padang matsirat, langkawi, yakin usaha syarikat simen, ‘Lafarge Malaysia’ dan resort The Andaman’ yang merintis usaha itu dapat menyediakan penyelesaian terhadap kemusnahan termbu karang dan memelihara biodiversiti spesis marin.

"pada hari ini mengambil berat tentang alam sekitar terutamanya tentang hidupan laut atau karang dan saya yakin dengan adanya karang baru yang akan dating dia akan member impak yang positif kepada industry pelancongan dan nelayan-nelayan dengan adanya pendekatan tangkapan ikan di kawasan ini.. insyaallah," katanya


Beliau berkata kepada media selepas menyaksikan pelepasan modul tukun tiruan ARMS di Teluk Datai, Langkawi, Kedah.

Menurut Mohd Rawi, terumbu karang pinggir di hadapan resort ‘The Andaman’ telah mengalami kerosakan yang teruk pada 2004 sebelum ini, memandangkan ianya menjadi pelindung dengan memecahkan kuasa ombak tsunami.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge, Bradley Mulroney berkata, tukun tiruan ARMS dibuat khusus untuk memenuhi sifat unik terumbu karang yang sedia ada.

Katanya, modul tukun tiruan ini direka khas untuk mewujudkan ruang persembunyian yang maksimun untuk pelbagai saiz ikan selain meningkatkan ekosistem bawah laut serta hidupan marinnya.

Beliau berkata, usaha seperti ini memberi ruang untuk semua pihak memperbaiki keadaan alam sekitar terumbu serta memperkasakan industri pelancongan serta menyediakan aktiviti kemudahan pendidikan, penyelidikan dan rekreasi. -- Nana TV @ nanatv.tripod.com

Saturday, 22 November 2014

Bronox Serang Langkawi

Gempar! Fenomena alam yang tidak pernah berlaku di Langkawi, Kedah. Baru-baru ini, beribu-ribu bronox, spesis hidupan laut yang sejenis dengan gamat laut tiba-tiba terdampar di persekitaran pantai di Langkawi.


Fenomena ini menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke beberapa pantai bagi mengutip bronox bagaikan satu pesta.

Bronox sedap dibuat kerabu mentah, sejenis makanan tradisi Melayu sejak turun temurun.

Bagi yang tak mengenali apa itu "Bronox" , nama saintifiknya iaitu Acaudina Molpadioides merupakan sejenis haiwan hidupan laut seperti gamat ataupun timun laut. Bentuknya seakan-akan lintah gergasi yg berwarna merah jambu atau coklat. 

Jadi, misterinya apabila Bronox naik terdampar ke pantai secara berjamaah kerana ia merupakan haiwan yang berada di dalam laut terutama laut yang berselut. Apakah petandanya ini? Mungkinkah akan berlaku bencana atau kejadian luarbiasa? 

Saksikan video Fenomena Bronox Langkawi di nanatv.tripod.com dengan alunan muzik lagu "Merayu - by Thomos"

Thursday, 20 November 2014

Wanita Brazil, Malaysia Gaduh

LANGKAWI, Kedah : Peserta Malaysia, Juara wanita Muay Thai Kuala Lumpur, Ella Tang tidak mudah menyerah kalah dengan memberi tentangan sengit kepada pencabarnya Juliana Rosa dari Brazil ketika bertarung dalam Cabaran Muay Thai Dunia 2014 Z1 Royal Kedah di Dewan Mahsuri, Langkawi, Kedah.

Ella yang merupakan peninju wanita Muay Thai pertama negara yang mewakili Malaysia ke kejohanan Muay Thai antarabangsa. Beliau tewas dengan kiraan mata dalam pertarungan tiga pusingan. -- Nana TV @
nanatv.tripod.com


Monday, 16 September 2013

Bilik Langkawi Untuk Blogger


LANGKAWI memang menjadi destinasi pilihan Nana, setiap kali ada ruang dan waktu, pasti Nana akan ke Langkawi untuk bercuti.

Memandangkan selalu ke Langkawi, Nana mengambil langkah menyewa sebuah bilik kosong di Langkawi secara tetap dan Nana hiasi bilik itu dengan peralatan perabut yang Nana beli sendiri.

Bilik itu terletak betul-betul di tengah pekan Kuah kira-kira 3 kilometer daripada Jeti Langkawi. Berhampiran pusat membeli belah terkenal seperti Haji Ismail Group, Langkawi Saga dan premis-premis makanan terkenal.

Bagi rakan-rakan blogger yang ingin berkunjung ke Langkawi, dan bercadang untuk mendapatkan penginapan yang murah, selesa dan berhampiran dengan pelbagai kemudahan, Nana bercadang untuk menyewakan kepada rakan-rakan dengan kadar RM50 - RM80 sehari semalam.

Bilik Nana itu menyediakan kemudahan televisyen, peti ais, kipas angin dan bilik air. Turut disediakan juga kemudahan wifi dengan kadar penggunaannya RM2 sehari.

Mana-mana rakan blogger yang berminat untuk menyewa bilik Nana itu, sila hubungi Nana atau tinggalkan komen-komen dalam laman blog ini. Nana akan bantu rakan-rakan semua.

Thursday, 15 August 2013

Tokong Haji Ibrahim?

Patung hitam dengan imej lelaki memakai songkok
TOKONG IBRAHIM ataupun penduduk tempatan ada yang menyebutnya dengan panggilan Tokong Haji Ibrahim, sudah lama bertapak di Langkawi, Kedah.

Tokong itu antara yang misteri dan pelik di Langkawi kerana di dalamnya terdapat sebuah patung hitam (tok pekong) berukiran wajah seorang lelaki yang bersongkok dipercayai sebagai imej seorang lelaki Islam bernama 'Ibrahim'.

Tokong itu kini diuruskan dan dijaga oleh segelintir masyarakat Tionghua di Langkawi dan dilawati dan digunakan untuk upacara ritual bagi penganut-penganut yang bukan beragama Islam.

Ada yang beranggapan bersembah di Tokong Ibrahim boleh membawa tuah dan beroleh kesenangan.

Dipercayai tokong ini dibina berasaskan kepercayaan dan kekaguman segelintir masyarakat bukan Islam terhadap seorang lelaki jujur dan berkeperibadian mulia yang mereka kenali sebagai 'Ibrahim', seorang yang warak amalan agamanya.

Mungkin lokasi tokong itu juga dianggap karamat dan terdapat
dakwaan, pada suatu ketika dahulu jelmaan seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Ibrahim' sering muncul di situ.

Nana mendapat maklumat ini melalui seorang Rakan Facebook yang pernah berkunjung ke Tokong Ibrahim di Langkawi pada sekitar tahun 2011.

Rakan Facebook itu turut memaparkan beberapa keping foto beliau yang dirakam di Tokong Ibrahim, dalam laman sosial itu pada 26 Oktober 2011.
Rakan Facebook bergambar di hadapan patung Ibrahim
Tokong Ibrahim mungkin sinonim dengan masyarakat setempat di Langkawi berdasarkan lokasi sebuah restoran popular 'Chap Nya Yee Laksa Langkawi' yang dipaparkan dalam laman info kembara TripAdvisor.com.my, beralamat di 12-A, Belakang Tokong Ibrahim, Langkawi, Malaysia.


Nana rasa, kewujudan tokong itu dengan nama seorang lelaki yang status agamanya sudah pasti Islam, iaitu 'Ibrahim' adalah untuk diabadikan, kerana kelompok mereka mempercayai adanya karamat pada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

Dan nama itu perlu mereka hargai dan mendewakannya sehingga terdirinya Tokong Ibrahim.

Nana rasa, masyarakat setempat di Langkawi pun sedia maklum, ketika kewujudan Tokong Ibrahim secara tidak drastik suatu ketika dahulu, ianya bukan bertujuan untuk mempersendakan dan mencemarkan intitusi agama Islam.
Ianya cuma satu cara, bagi satu kumpulan masyarakat yang menggagung seseorang dan kemudian menterjemahkannya berdasarkan kepercayaan syirik dan falsafah keagamaan yang mereka anuti, tanpa menyedari faktor sensitiviti mungkin terpalit sedikit bagi sesetengah pihak.

Saturday, 27 July 2013

Anak Yatim Underwater

Nana dan Norlina Zubir
RAKAN Nana, Norlina Zubir yang menjawat sebagai Pengurus Besar Underwater World Langkawi  (UWL) menjemput Nana ke majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pihaknya di Bella Vista Resort & Spa di pekan Kuah, Langkawi.

Majlis berbuka puasa itu turut meraikan tujuh orang anak yatim dari Rumah Anjung Kasih bersama-sama lapan orang ibu dan bapa tunggal dari sekitar Langkawi.

Bukan setakat diraikan, tetapi kehadiran anak-anak yatim dan ibu bapa tunggal itu turut diberikan habuan dengan sumbangan duit raya dan barangan makanan oleh UWL.

Sumbangan itu disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Matsirat dan ADUN Kuah, Norsaidi Nayan.

Menurut Norlina, majlis berbuka puasa itu sebagai satu usaha untuk menyebarkan keceriaan perayaan dan memastikan bahawa mereka yang kurang bernasib baik turut tidak sunyi daripada menyambut perayaan.

"UWL sedar tentang keperluan mereka dalam menghadapi suasana perayaan, oleh itu sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menjadikan Ramadan ini lebih bahagia dan bermakna untuk mereka," katanya.

UWL anak syarikat milik penuh Eden Inc dikenali sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan zoologi, botani, biologi marin dan kajian-kajian yang berkaitan.

Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Terangganu telah pun menjalin kerjasama persefahaman bersama UWL pada 2012 bagi pembangunan penyelidikan bersepadu.
Mohd Rawi, Norsaidi dan anak yatim

Bangunan UWL yang terletak di Pantai Cenang, Langkawi dengan keluasan 60,000 kaki persegi menempatkan hutan hujan tropika, iklim sederhana dan sub-antartik.

Lebih daripada 4,000 haiwan dan hidupan laut serta 500 spesis dipamerkan dalam lebih daripada 100 tangki yang direka khas yang pastinya sentiasa menarik perhatian pelancong dari luar dan dalam negara.



Untuk maklumat lanjut sila kontek :

Underwater World Langkawi Sdn Bhd
Jalan Pantai Cenang,
07000 Langkawi, Kedah.
Tel: 04-9556100 www.underwaterworldlangkawi.com.my.

Friday, 26 July 2013

Berbuka Di Laman Padi

NANA ke Langkawi, sempat juga berbuka puasa di Laman Padi yang terletak di Pantai Cenang. Berbuka puasa di Laman Padi sungguh menyelerakan dengan masakan dan menu makanan berkonsepkan tradisional dan ala-kampung.

Apatah lagi semasa menikmati juadah yang disediakan, Nana bersantai di anjung restoran dengan pemandangan sawah padi diwaktu malam,sungguh mengasyikan. Bunyi cengkerik dan serangga bendang mencetuskan keaslian umpama di perkampungan sawah sebenar.

Menu makanan paling Nana gemari ketika berbuka di Laman Padi ialah sup kambing, kari ayam kampung, ikan pekasam, ikan masin, manakala kuih muih untuk pencuci mulut seperti buah melaka, danggai, pulut udang dan tapai pulut cukup terkesan.

Laman Padi adalah merupakan sebuah produk pelancongan yang berasaskan
eco-pelancongan di mana budaya dan tamadun masyarakat Melayu di dalam aktiviti penanaman padi dikekalkan dan dilestarikann secara hidup. Laman Padi siap di bina dan mula beroperasi pada tahun 1998. 

Berkeluasan 14.28 ekar merangkumi kawasan pertanian seluas 8.60 ekar yang berkonsepkan alam semulajadi perkampungan. Pelbagai aktiviti dikekalkan sebagai satu muzium hidup untuk diwarisi sebagai satu kaedah kepada generasi mendatang. 

Selain Restoran Padi yang turut menyediakan masakan moden dan ala-barat, pengunjung yang ke Laman Padi boleh mendapat info-info menarik di Galeri Padi yang mana pengunjung berkesempatan menikmati pemandangan sawah padi atas bangunan yang ditanam secara bertingkat.

Manakala di Laman Variasi, pengunjung boleh juga menyelami lagi kehidupan petani dan menghayati kehijauan sawah dengan mengharungi lumpur serta menyertai aktiviti-aktiviti persawahan sebagaimana dilakukan oleh petani dalam kehidupan harian mereka sebagai pesawah.


Laman Padi, Pantai Chenang,
Mukim Kedawang 07000,
Langkawi Kedah Darul Aman.

Tel:604-9554312
Fax:604-9551819
Email: lamanpadi@hotmail.com

Saturday, 20 July 2013

Para-Sailing NAAM Selamat

TANGGAPAN orang ramai tentang tahap keselamatan terhadap aktiviti sukan luncur udara di laut para-sailing, memang agak meragukan.

Dakwaan terbabit ditambah lagi ekoran kejadian seorang pelancong daripada negara Arab maut selepas terjatuh ketika cuba meluncur di udara ketika menaiki para-sailing yang ditarik menerusi sebuah bot di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah tidak lama dulu.

Nana bersama jurukamera turut berkesempatan merasai pengalaman menaiki para-sailing, walaupun gementar pada mulanya tetapi pemandangan saujana mata memandang dari atas udara dengan panorama sekitar Langkawi dan pulau-pulau kecil amat melegakan minda.

Itupun keberanian Nana ingin mencuba para-sailing teretus, setelah tanggapan itu disangkal oleh Naib Presiden NAAM Langkawi, R.Gobalan, yang menyediakan perkhidmatan parasailing ini.


Pada mulanya, agak gayat juga Nana apabila pelayaran bermula dengan ditarik oleh sebuah bot dan parachut semakin meninggi diudara. Hati berkata ketika itu, jika boleh biarlah pelayaran itu berakhir dengan segera. Namun semakin lama berlayar, kepuasan semakin terasa dan ingin kembali mencubanya lagi.

Hakikat sebenar para-sailing mudah dikendalikan oleh orang ramai dengan pemantauan krew pengendali, disamping tidak mengambil mudah aspek-aspek keselamatan.

Kata Gobalan, NAAM Langkawi, yang mengendali parasailing di Tanjung Rhu, Langkawi telah mengambil langkah proaktif dengan memperkemaskan kelengkapan dan ciri-ciri keselamatan baik dari kru parasaling dan bot yang digunakan.

Katanya, bagi mengurangkan risiko, NAAM hanya mengendalikan aktiviti para-sailing pada waktu siang dan di kawasan yang tidak sibuk dan jauh daripada tumpuan ramai.

Untuk itu NAAM menyediakan 20 orang krew terlatih dalam parasailing dan menggunakan bot canggih dengan kelengkapan elektronik,  mencecah kos ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memberi perkhidmatan terbaik dan selamat kepada pelanggannya.


Bagi mengelakkan kemalangan hanya satu para-sailing sahaja yang dibenarkan meluncur pada satu-satu masa dan pelanggan terpaksa menunggu giliran masing-masing.

Gobalan berkata, sebelum peluncuran bermula, krew para-sailing akan mengenakan jaket keselamatan dan kelengkapan untuk dipakai bersama payung terjun dan ianya perlu dipakai dengan kemas dan sempurna untuk menjamin keselamatan.

Katanya, sambil mengemaskan kelengkapan untuk para-sailing, krew akan memberi taklimat bagaimana dan cara-cara dari mula hendak terbang hinggalah waktu mendarat.



Friday, 12 July 2013

Naik Feri Di Bilik Jurumudi


NANA ke Langkawi ada tugasan. Sampai sahaja di jeti Kuala Kedah pada 9.45 pagi, tiket feri bertolak dari Kuala Kedah pada 10.15 sudah kehabisan, terpaksa tunggu perjalanan feri pada pukul 11.45 pagi.

Perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi biasanya akan mengambil masa 1 jam 45 minit, memandangkan Nana perlu berurusan dengan tugasan di Langkawi pada jam 12.30 tengahari, adalah tidak wajar dengan masa jika menaiki feri pada 11.45 pagi itu.

Mahu tidak mahu Nana terpaksa memohon ehsan daripada pengurus syarikat feri itu sendiri agar Nana dan dan dua lagi rakan dapat menumpang feri pada perjalanan 10.15 itu juga.

Merayu punya merayu, akhirnya Nana dibenarkan juga menaiki feri pada 10.15 pagi itu. Masalah memang pengunjung ke Langkawi itu ramai, kebetulan musim cuti sekolah pula, jadi memang tiada tempat duduk lagi untuk kami bertiga.

Bagaimanapun, Nana bersyukur dapat juga meneruskan perjalanan ke Langkawi pada pukul 10.15 pagi, tapi terpaksa berkongsi perjalanan di bilik navigasi iaitu bilik jurumudi feri itu bersama-sama dengan krew dan kapten kapal.

Di bilik itu, Nana mendapat pengalaman baru bagaimana pelayaran feri itu di kemudikan dari Kuala Kedah ke Langkawi.


GPS adalah satu gajet yang penting bagi mengemudikan pelayaran feri itu, selain terdapat alatan lain yang dapat memberi bacaan kedalaman laut dan memperincikan objek-objek dan hidupan laut, seperti ikan dan lain-lain.

Jurumudi dan kapten kapal sekadar berpandu mesin yang serba canggih itu bagi memastikan perjalanan tiba ke destinasinya dengan selamat.

Monday, 13 June 2011

Motosikal Besar Tarik Pelancong

AKTIVITI motosikal berkuasa besar akan dijadikan produk baru pelancongan Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong terutama di kalangan penunggang motosikal ke pulau bebas cukai itu.

Pengarah Tourism Malaysia Kedah Roslan Othman berkata dengan pemilik motosikal terdiri daripada mereka yang berkemampuan dari segi sumber kewangan, sudah pasti mereka berbelanja besar di Langkawi dan ini menguntungkan pulau peranginan itu.

"Komitmen semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan swasta diperlukan bagi memajukan industri ini bagi menyokong usaha seperti menyediakan kemudahan dan pengangkutan membawa motosikal dari tanah besar ke Langkawi," katanya.

Katanya kejayaan dan sambutan menggalakkan yang diterima ketika menganjurkan 'International Charity Ride 2011' bagi menyambut ulang tahun keempat Langkawi Geopark 2011 di sini selama dua hari yang berakhir hari ini memberi keyakinan produk baru itu akan menghasilkan kejayaan.

Sebanyak 200 motosikal dengan 250 peserta dari Singapura, Thailand dan Malaysia menyertai acara itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur Pishol Ishak berkata sempena program itu para peserta itu beramah mesra bersama dengan lebih 30 anak yatim Langkawi dan penduduk di Kampung Tok Rendong Kuah di sini.

Pishol yang juga Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah berkata aktiviti itu dirancang untuk dijadikan acara tahunan sebagai produk pelancongan Langkawi.

Aktiviti itu anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tourism Malaysia, Matta dan beberapa agensi kerajaan.

Saturday, 11 June 2011

Operasi Bersih Taman Laut

TAMAN Laut Pulau Payar yang terletak di luar pantai barat negeri Kedah kini antara destinasi pelancongan yang semakin dikenali ramai. 

Tarikan terumbu karangnya, menyebabkan taman laut ini begitu popular di kalangan pelancong asing, terutama pengunjung dari Jepun dan Taiwan.

Saban tahun bilangan pengunjung ke Pulau Payar meningkat. Bayangkan daripada 1,400 orang pada tahun 1988, kini ianya mencecah kepada hampir 200,000 orang pada tahun lepas.

Selain terumbu karang yang menjadi tumpuan penyelam, pelbagai jenis ikan yang berlegar di tepian pantai Pulau Payar sentiasa mengamit pelancong untuk berkunjung kembali.

Bilangan pelancong yang besar dan aktivitinya boleh menjejaskan persekitaran terumbu karang di samping pencemaran kawasan taman laut jika tidak diuruskan dengan baik.

Sebagai kawasan ‘lubuk ikan’ perairan Pulau Payar sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan. Pencerobohan inilah meninggalkan kesan pencemaran yang begitu membimbangkan.

Nelayan yang menangkap ikan di kawasan itu turut meninggalkan sisa pepejal dan peralatan menangkap ikan yang terdampar di dasar taman laut itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini Jabatan Taman Laut dan Polis DiRaja Malaysia mengadakan operasi pembersihan dasar laut, Taman Laut Pulau Payar bagi menangani pencemaran terumbu karang dan persekitarannya.

Nana bersama wakil media yang lain, tidak ketinggalan turut serta dalam operasi yang melibatkan seramai 200 anggota polis dan penyelam sukarelawan bagi mengutip sisa pepejal seperti pukat, tin, plastik, botol di dasar laut.

Taman Laut Pulau Payar terdiri dari gugusan empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang dengan keluasan 31.2 hektar.

Jika ingin ke Pulau Payar, anda boleh menempah perjalanan itu melalui Pulau Pinang dan Langkawi kerana hanya di situ sahaja terdapat agen pelancongan yang membawa pengunjung ke taman laut itu.

Walaupun kos perjalanan untuk masuk ke Pulau Payar agak tinggi, tetapi Nana rasa ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan oleh persekitaran semulajadi yang tenteram dan mengasyikkan itu.