Showing posts with label laut. Show all posts
Showing posts with label laut. Show all posts

Friday, 12 July 2013

Naik Feri Di Bilik Jurumudi


NANA ke Langkawi ada tugasan. Sampai sahaja di jeti Kuala Kedah pada 9.45 pagi, tiket feri bertolak dari Kuala Kedah pada 10.15 sudah kehabisan, terpaksa tunggu perjalanan feri pada pukul 11.45 pagi.

Perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi biasanya akan mengambil masa 1 jam 45 minit, memandangkan Nana perlu berurusan dengan tugasan di Langkawi pada jam 12.30 tengahari, adalah tidak wajar dengan masa jika menaiki feri pada 11.45 pagi itu.

Mahu tidak mahu Nana terpaksa memohon ehsan daripada pengurus syarikat feri itu sendiri agar Nana dan dan dua lagi rakan dapat menumpang feri pada perjalanan 10.15 itu juga.

Merayu punya merayu, akhirnya Nana dibenarkan juga menaiki feri pada 10.15 pagi itu. Masalah memang pengunjung ke Langkawi itu ramai, kebetulan musim cuti sekolah pula, jadi memang tiada tempat duduk lagi untuk kami bertiga.

Bagaimanapun, Nana bersyukur dapat juga meneruskan perjalanan ke Langkawi pada pukul 10.15 pagi, tapi terpaksa berkongsi perjalanan di bilik navigasi iaitu bilik jurumudi feri itu bersama-sama dengan krew dan kapten kapal.

Di bilik itu, Nana mendapat pengalaman baru bagaimana pelayaran feri itu di kemudikan dari Kuala Kedah ke Langkawi.


GPS adalah satu gajet yang penting bagi mengemudikan pelayaran feri itu, selain terdapat alatan lain yang dapat memberi bacaan kedalaman laut dan memperincikan objek-objek dan hidupan laut, seperti ikan dan lain-lain.

Jurumudi dan kapten kapal sekadar berpandu mesin yang serba canggih itu bagi memastikan perjalanan tiba ke destinasinya dengan selamat.

Saturday, 11 June 2011

Operasi Bersih Taman Laut

TAMAN Laut Pulau Payar yang terletak di luar pantai barat negeri Kedah kini antara destinasi pelancongan yang semakin dikenali ramai. 

Tarikan terumbu karangnya, menyebabkan taman laut ini begitu popular di kalangan pelancong asing, terutama pengunjung dari Jepun dan Taiwan.

Saban tahun bilangan pengunjung ke Pulau Payar meningkat. Bayangkan daripada 1,400 orang pada tahun 1988, kini ianya mencecah kepada hampir 200,000 orang pada tahun lepas.

Selain terumbu karang yang menjadi tumpuan penyelam, pelbagai jenis ikan yang berlegar di tepian pantai Pulau Payar sentiasa mengamit pelancong untuk berkunjung kembali.

Bilangan pelancong yang besar dan aktivitinya boleh menjejaskan persekitaran terumbu karang di samping pencemaran kawasan taman laut jika tidak diuruskan dengan baik.

Sebagai kawasan ‘lubuk ikan’ perairan Pulau Payar sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan. Pencerobohan inilah meninggalkan kesan pencemaran yang begitu membimbangkan.

Nelayan yang menangkap ikan di kawasan itu turut meninggalkan sisa pepejal dan peralatan menangkap ikan yang terdampar di dasar taman laut itu.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini Jabatan Taman Laut dan Polis DiRaja Malaysia mengadakan operasi pembersihan dasar laut, Taman Laut Pulau Payar bagi menangani pencemaran terumbu karang dan persekitarannya.

Nana bersama wakil media yang lain, tidak ketinggalan turut serta dalam operasi yang melibatkan seramai 200 anggota polis dan penyelam sukarelawan bagi mengutip sisa pepejal seperti pukat, tin, plastik, botol di dasar laut.

Taman Laut Pulau Payar terdiri dari gugusan empat buah pulau iaitu Pulau Payar, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang dengan keluasan 31.2 hektar.

Jika ingin ke Pulau Payar, anda boleh menempah perjalanan itu melalui Pulau Pinang dan Langkawi kerana hanya di situ sahaja terdapat agen pelancongan yang membawa pengunjung ke taman laut itu.

Walaupun kos perjalanan untuk masuk ke Pulau Payar agak tinggi, tetapi Nana rasa ianya berbaloi dengan apa yang dihidangkan oleh persekitaran semulajadi yang tenteram dan mengasyikkan itu.