Thursday, 31 October 2013

Air Nira Pilihan Raya

Nana berkesempatan ke Sungai Limau, Yan, Kedah bagi meninjau dan merasai sendiri bahang kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Apa pun Nana tertarik dengan penghasilan nira nipah di Sungai Limau dan peniaga air minuman itu kini mendapat rezeki yang berganda ekoran permintaan terhadap nira nipah meningkat sejak kempen pilihan raya bermula.

Air Nira Nipah antara minuman tradisi yang agak popular di negeri Kedah, antara kelebihan amalan meminum air nira nipah ialah menyejukkan badan.

Ianya manis lagi berkhasiat dan keenakan nira nipah bertambah apabila dicampur dengan air batu.

Nira nipah ini banyak dihasilkan secara tradisonal oleh penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan Sungai Limau, Yan, Kedah.

Bagi pengusaha nira nipah dan peniaga air minuman itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memberi satu keuntungan kepada mereka kerana permintaan terhadap minuman itu meningkat sekali ganda, berbanding sebelum ini.

Yusof Abdullah merupakan salah seorang pengusaha nira nipah, yang tinggal di Kuala Sedaka yang terletak dalam kawasan DUN Sungai Limau.

Menurutnya, menjelang PRK DUN Sungai Limau, tempahan air nira yang disadap (diambil) daripada pokok-pokok nira dari belakang rumahnya meningkat sehingga kadang-kala ianya tidak dapat memenuhi permintaan.

Yusof berkata, beliau hanya menyadap air nira nipah itu secara sambilan, namun pendapatannya agak lumayan, apatah lagi dalam PRK ini kebanyakkan orang tertumpu ke Sungai Limau.

Katanya, walaupun proses penghasilan air nira nipah itu agak renyah dan mengambil masa yang lama, namun ianya pastinya berbaloi  apabila air nira yang dituai itu ditempah pelanggan.

Sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini, selain memastikan bekalan air nira kepada pelanggan tetapnya mencukupi, beliau juga menerima tetamu yang ingin menikmati keenakan air nira yang baharu sahaja dituai dari pokok.

Peniaga air nira dari pekan Yan Kechil, Salmiah Omar, pula berkata, hasil jualannya meningkat sejak beberapa hari lepas hasil tempias PRK DUN Sungai Limau.

Pada hari biasa, beliau sekadar menjual antara 60 hingga 80 bungkus air nira nipah sehari, namun sejak tiga hari lepas hasil jualannya meningkat sehingga 200 bungkus sehari.

Salmiah menjual air nira nipah itu dengan harga RM2 sebungkus.

Selain dapat menyegarkan badan, bagi peminat air nira nipah, di antara mereka mendakwa, air nira nipah yang asli boleh membantu memecahkan batu karang dan mencuci buah pinggang.

Monday, 28 October 2013

Ulama Selar Abby Abadi

Ulama Muda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya menyelar artis Abby Abadi yang keterlaluan menuduh UMNO mengabaikan golongan artis yang berhijrah dan menutup peluang terhadap kerjaya seni mereka.

Katanya, golongan artis yang berhijrah diminta berfikir secara rasional dan jangan keterlaluan menuduh UMNO tidak menyokong penghijrahan mereka selain mendakwa UMNO bertanggungjawab menjadikan golongan selebriti di Malaysia mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

Dr Fathul Bari menganggap tindakan artis, Abby Abadi yang menyertai pas bukanlah satu penghijrahan yang ikhlas kerana beliau lantang menyalahkan UMNO membiarkan gejala maksiat berleluasa dalam industri hiburan tanahair dan menyekat peluang kerjaya seninya.

Abby yang kini menjadi ahli PAS seumur hidup tampil membantu calon PAS menerusi ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau bertanya, apakah motif penghijrahan Abby Abadi itu untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang tercicir dahulu atau mahu memperjuangkan politik?

dia memaksudkan hijrah itu masuk parti politik ialah, yang dia pi masuk parti politik pas, kemudian mengharapkan ruangan, teringin berlakun lagi ka, itu yang kita nak tanya dia teringin belakon lagi ka, kalau tak teringin berlakon tak perlu timbul hal-hal yang sedemikian rupa, sebab sekarang ni bila kita cakap pasal hijrah jagan kaitkan kepentingan politik, bila bercakap pasal hijrah ulas hijrah sepertimana yang disebut oleh Rasulullah saw............... orang yang berhijrah itu orang yang meninggalkan apa yang Allah swt larang daripada perkara tersebut,” katanya.

Dr Fathul yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata selepas berucap di majlis kempen PRK bersama penduduk Kampung Selengkoh, Sungai Limau, Yan, Kedah, yang berakhir tengah malam tadi (Isnin).

Katanya, ada juga artis yang berhijrah seperti Wahedah dan Akhil Hayy masih mendapat peluang dalam kerjaya seni mereka kerana penghijrahan itu bersandarkan kesedaran sejati tanpa sebarang kepentingan mana-mana pihak.

Dr Fathul Bari berkata, biarlah penghijrahan itu dilakukan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, dan berharap keputusan mereka berhijab itu akan berkekalan dan mampu mengubah diri menjadi muslimah yang sejati.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Sunday, 27 October 2013

Berbasikal Keliling Dunia

Walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk mengembara dengan selesa merentasi dunia. 

Akhirnya keputusan Zahariz Khuzaimah, 34, untuk berbasikal merentas beberapa negara akhirnya memberi suatu pengembaraan dan pengalaman cukup luar biasa. 

Pengembaraan sulung pada Mei 2010 dengan bermodalkan kira-kira RM6,000, graduan lulusan Wanganui School of Design, New Zealand itu nekad meninggalkan kerjayanya sebagai pensyarah sambilan serta bidang animasi untuk mula mengembara. 

Kebetulan, dia tidak mempunyai banyak komitmen dan hutang kecuali menyewakan kereta Perodua Myvi miliknya. 

Memilih untuk turun di Chengdu, China, laluan itu dipilih kerana paling dekat dengan destinasi pilihannya iaitu Tibet. 

Cerita penuh pengembaraan berbasikal Zahariz dalam sisipan INSPIRASI akhbar Berita Harian pada Ahad ini.

Friday, 25 October 2013

Cerita Dato Jamal Abdillah

COBRAeITe EKSPEDISI : AKHIRNYA DATO' JAMAL ABDILLAH. Akhirnya , Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah dianugerah jua gelaran Dato' atas jasa dan sumbangan seninya terhadap negara.

Sebagai rakan yang aku kenali, aku mengambil kesempatan menghulurkan tahniah kepada Jamal Abdillah dengan menghantar sms kepadanya sebaik sahaja berita itu aku terima.

Jamal membalas ringkas sms aku, "tq very much".

Itulah Jamal, tak banyak bicara bila ada kesempatan bermasej dengan aku, dan kami sebenarnya jarang berhubung, cuma aku kadang-kadang ada juga bertanyakan khabar tentang aktiviti konsertnya.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali dikurniai Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, bersempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang.

Beliau yang berusia 54 tahun, antara 643 penerima anugerah darjah kebesaran dan pingat yang dikurnia oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu mula dikenali ramai setelah muncul sebagai juara dalam pertandingan Bintang RTM 1979.

Akhirnya setelah 35 tahun mengabdikan dirinya sebagai penghibur negara yang tak lapuk dek zaman, Jamal diiktiraf juga sebagai kelompok masyarakat yang berstatus tinggi dengan gelaran Dato'. - Artikel Klik Cobraeite Ekspedisi

Wednesday, 16 October 2013

Dipeluk Rap, Yuna Dikecam

STATUS sebagai seorang artis sememangnya berat.

Tanggungjawab yang dipikul seorang insan bergelar selebriti tidak boleh dianggap mudah -- hampir segala perbuatan, percakapan mahu pun pergerakan mereka menjadi topik perbualan peminat.

Terbaru, penyanyi Yuna atau nama penuhnya Yunalis Zarai telah mendapat kritikan hebat dari peminatnya selepas dia memuat naik sekeping gambarnya bersama seorang penyanyi rap kelahiran Trinidad, Theophilius London di laman Facebook peribadinya Khamis lalu.

Imej berkenaan menunjukkan London memeluk bahu penyanyi berkenaan di satu majlis, namun tidak dinyatakan di mana ia diadakan.

Imej berkenaan telah menimbulkan pelbagai reaksi dari peminat penyanyi berusia 26 tahun itu. Kebanyakkan dari komen yang diberikan seolah-olah tidak berpuas hati kerana Yuna telah dipeluk London yang “bukan muhrimnya.”

Komen Nur Hazlinda Burhan berbunyi, “hilang respect pd Yuna sbgai wanita islm yg bertudung…”

“Hanya skadar teguran dr hamba yg lemah... Kak yuna..sy respect akak..sbb akak bayk sumbang name malaysia d mate dunia. Tp sy harap akak jugak bole bangge kan name islam walaupun dimana kita berada. Bak kata pepatah"bagai benih dicampak ke laut menjadi pulau"

Jgn kite tuding orang yg melakukan perkara yg salah ye leja tapi tuding orang yg melakukan kebaikan... Teguran untuk anda semua juga untuk diri yg daif ini. Wallahu 'alam,” kata Afzal Sainul Affath.

Komen Biebie Arereypha berbunyi: “Opps ... Yuna kenapa benarkan dipeluk oleh lelaki itu?ermm..jatuh maruah org islam yg btudung..


Meme Lina pula sekeras-kerasnya menyuarakan protes dengan komen yang berbunyi, “apa nie Yuna. Haram sentuhan dengan llaki bukan mahram kita. Napa nie Yuna?

Rezeki yg dicari melalui nyanyian tu hilang keberkatannya bila dah brcampur dosa ... nikmat Tuhan nk tarik tu kejap je..kalau tk kena tarik nikmat yg tuhan beri jadi skrin play la gamba tu kat padang masyar renung2 kan,” kata Jak Yori.

Apa yang memeranjatkan apabila ada peminat yang memberikan komen berbau perkauman. 


Ahmad Azman Faqir berkata,“this Negro should respect yuna, who wearing hijab. And yuna should know that she still Malaysia artis and not American artis. Everyone will judge her about small mistake. But who are we wanna judge her right.

Antara komen yang diterima, ada peminat tegar Yuna yang turut memberikan sokongan dengan menegur komen negatif yang ditulis di laman Facebook penyanyi itu.

Teguran secara makian adalah sangat betul dan tak mendatangkan dosa, malah mendapat pahala dgn melimpah ruah..dan harus lagi wajib membela mereka2 ini dari membela Yuna,” kata Ariza “Ieja” Mohamed Saleh.

Luis Camela dalam komennya berkata, “Y'all are fake Muslim pretending and covering your sin with the Holy Hijab, Do you know how many of your girls sleep around with while they have their Hijab on, Yuna I love your Music and I buy every of your Album on iTunes. Your country people lack exposure to the world. If they could travel out of their caged country and see how the world is then they will realize the world is against racism, I can't blame y'all cause you haven't love your fellow chinese and India how can you love another color then. Yuna is the only singer who is representing your country in the world of music so appreciate her.”

Penyanyi yang sekarang menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat itu baru saja selesai menjayakan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa bersama kumpulan National Symphony Orchestra di Istana Budaya pada bulan lalu.

Selesai saja persembahan itu, pelantun lagu "Terukir Di Bintang" itu banyak menjelajah ke sekitar benua termasuk Australia bagi memenuhi komitmen nyanyian.

Yuna terus melakar nama  di persada antarabangsa selepas mendapat jemputan membuat persembahan di Anugerah Pelarian Nansen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Geneva, Switzerland awal bulan ini.

Tuesday, 8 October 2013

Kayuhan Wanita Solo


Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC) 2013 sudah pun melabuh tirai, ada kejutan dalam siri ke-empat LIMBC kali ini, apabila pelumba dari Asia, Kohei Yamamoto dari Jepun dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Lelaki terbuka.

Apa pun, Nana bukan nak mengulangi berita-berita kejohanan itu yang telahpun dipaparkan oleh media.

Nana nak berkongsi mengenai kekentalan semangat seorang wanita yang turut serta memeriahkan LIMBC kali ini.

Nordiana Md Daud, 36, berasal dari Sri Damansara, Kuala Lumpur bukannya pelumba hebat, tidak pernah langsung menyertai mana-mana kelab berbasikal di negara ini.

Tetapi komitmen dan semangatnya untuk menyertai acara berbasikal harus dipuji dan dikagumi.
Bagi LIMBC kali ini, Nordiana mengambil bahagian dalam perlumbaan Jambori (Fun Ride). Acara ini terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk mengayuh basikal sejauh 40 kilometer dan merasai sendiri kehebatan pertempuran sebenar di dalam LIMBC.

Acara Jambori ini terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, asalkan mempunyai basikal dan helmet sudah layak untuk memasuki perlumbaan Jambori.

Menariknyya, Nordiana tidak datang secara berkumpulan ataupun berdua untuk menyertai acara Jambori ini, beliau hanya datang seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa.

Itulah yang dilakukan oleh Nordiana, bagi mana-mana acara perlumbaan yang disertainya, beliau akan hadir seorang diri.
Sejak aktif dalam aktiviti berbasikal dua tahun lepas, beliau telah menjelajah ke beberapa tempat bagi menyertai acara berbasikal seperti Century Ride yang berlangsung di Kuantan, Kuala Terengganu dan Ipoh.

Bukan kemenangan sebagai juara yang diidamkan tetapi dapat menghabiskan perlumbaan itu sudah memberi satu kepuasan pada dirinya.

Berbasikal adalah hobinya kini dan beliau sanggup meminta cuti dari majikannya semata-mata untuk menyertai mana-mana acara berbasikal termasuk LIMBC kali ini.

Kemana-mana pun beliau pergi untuk berbasikal, beliau tetap seorang diri tanpa sesiapa di sampingnya.